Sultan Nazrin rasmikan Kem PGA Bidor
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 500
BIDOR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Kem Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Berangkat sama Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Kem Batalion 3 PGA Bidor mula beroperasi pada 8 Februari 1984, selepas kesemua fungsi pentadbiran ibu pejabat Batalion 20 Pasukan Polis Hutan (PPH) dipindahkan ke kem itu.
Ekoran dari pengecilan dan penggabungan Batalion-Batalion PPH di seluruh Malaysia, pada 1 Januari 1993, Batalion 20 PPH telah diubah menjadi Batalion 3 PPH melibatkan pertukaran ‘Beret Merah Maroon’ kepada ‘Beret Biru’.
Kemudiannya, pada 1 November 1997 nama Pasukan Polis Hutan (PPH) telah ditukar kepada Pasukan Gerakan Am (PGA). - PERAKTASTIC-