Perak tuan rumah Festival Muzik Carnatic Antarabangsa Malaysia, angkat seni muzik klasik India
- Details
- Saloma
- Komuniti
- Hits: 429
IPOH: Selepas tiga tahun tidak dianjurkan secara fizikal sepenuhnya susulan pandemik COVID-19, kini buat julung-julung kalinya Festival Muzik Carnatic Antarabangsa Malaysia (MYICMF) 2023 akan dianjurkan di Perak bermula 30 Jun hingga 2 Julai.
Festival yang memasuki edisi kelima itu menyajikan kepelbagaian muzik dan instrumen klasik dari India Selatan serta dijangka bakal menarik lebih 3,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi berkata, acara berprestij itu antara lain merupakan usaha kerajaan negeri dalam mempromosi seni dan budaya, di samping menjadikan Perak sebagai pusat kecemerlangan seni.
Beliau juga optimis usaha itu dapat menjadi titik permulaan bagi memupuk perpaduan menerusi seni budaya, selain menjanjikan acara luar biasa dengan menghimpunkan artis dan penggemar muzik tersebut dari serata dunia.
"Saya dimaklumkan festival kali ini di negeri ini, ia akan menarik kedatangan pengunjung seramai 1,000 hingga 1,500 orang setiap hari selama tiga hari.
"Saya percaya dengan kehadiran pengunjung ke Perak, seterusnya akan mendatangkan impak positif kepada ekonomi setempat. Selain mempromosi Perak kepada dunia.
"Saya yakin apabila acara sebegini diperbanyak, tidak kira seni budaya berbilang bangsa, ia dapat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat.
"Festival ini nanti akan menjadi platform bagi persembahan luar biasa, kerjasama kreatif dan pertukaran idea serta tradisi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media berhubung festival tersebut di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengarah Festival MYICMF, yang juga merangkap Pengasas Pemegang Amanah Yayasan Sugam, Sujietra Jayaseelan.
Sementara itu mengulas lanjut berhubung festival tersebut, Sujietra memberitahu ia mula diperkenalkan pada tahun 2019 dan dianjurkan di Kuala Lumpur.
Katanya lagi, Ipoh menjadi lokasi pilihan bagi tahun ini memandangkan bandar raya ini kaya dengan warisan dan sejarah.
"Selama empat tahun lepas memang kita anjurkan di Kuala Lumpur (ketika pandemik hanya secara dalam talian sehingga 2022).
"Kali ini kami datang ke Ipoh kerana mendapat jemputan mesra dari negeri ini dan bandar raya ini sarat dengan budaya, so kenapa tidak kami buat keputusan anjur di sini," katanya.
Jelasnya lagi, barisan artis yang akan menyertai festival itu bukan saja dari India tetapi juga Amerika Syarikat.
"Lebih kurang 15 artis yang terbabit, mereka semua berbakat dan terkenal. Tidak ketinggalan artis tempatan akan turu serta buat persembahan di platform sama," katanya lagi.
Ketika ditanya sama ada ia mampu menarik masyarakat berbilang kaum untuk menyaksikan festival itu, Sujietra berkata seni mampu menghubungkan manusia.
"Carnatic ini merupakan muzik klasik dari selatan India dengan teknik yang rumit termasuk tradisi tersendiri.
"Bahasa yang digunakan dalam muzik carnatic ini bukan saja Tamil, ada Telegu dan sebagainya. Sebenarnya bukan bahasa yang penting dalam muzik tetapi iramanya.
"Kita ada banyak lagu yang sudah digabungkan atau fusion. Kita tidak begitu beri perhatian pada lirik bahkan ada yang tiada lirik, muzik sahaja," katanya.
Festival ini nanti akan berlangsung di MH Hotel, Ipoh dan bagi anda yang berminat boleh layari https://myicmf.ubertickets.asia/ untuk pembelian tiket.