IPOH- Seramai 195 peserta daripada 65 pasukan bakal berentap bagi meraih juara  Explorace 2023 yang akan dilangsungkan esok.

Yang Dipertua Kelab Sukan Dewan Bandaraya Ipoh (KSDBI), Radin Afifi Ahmad Aruani berkata pada tahun ini sambutan yang diterima diluar jangkaan berbanding tahun 2022.

“Explorace 2023 merupakan kali ketiga dianjurkan oleh KSDBI dan tahun ini penyertaan peserta bukan sahaja dalam kalangan warga Perak tetapi melibatkan juga peserta dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Explorace kali ini lelebih mencabar di mana para peserta diwajibkan menyudahkan pelbagai tugasan di lapan ‘check point’ di sekitar bandaraya Ipoh.

“Kesemua peserta dijangka akan dilepaskan oleh Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ MD Daud pada jam 8.30 pagi berhadapan bungunan MBI,” katanya dalam sesi taklimat Explorace 2023  di Bilik Gerakan MBI di sini hari ini.

Juara bakal memenangi wang tunai RM1,500, naib juara RM800, ketiga 500 dan keempat RM200. Cabutan bertuah juga akan diadakan sebelum acara penyampaian hadiah kepada pemenang.

Pada masa yang sama, KSDBI turut menganjurkan pesta bola bandaraya Ipoh bagi merebut Piala Datuk Bandar 2023.

Pengurus Kejohanan, Awal Hadi Roslan berkata pesta bola itu melibatkan peserta di bawah umur 12 tahun.

“Pesta bola ini dianjurkan untuk memberi peluang dan pengalaman kepada kanak-kanak bermain bola sepak di dalam stadium. 

“Sebanyak 32 pasukan menyertai pertandingan ini. Penyertaan terdiri daripada pasukan seluruh Malaysia seperti  Johor, Negeri Sembilan Kelantan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor. 

“MBI menghantar dua pasukan. Satu pasukan  diwakili oleh 15 pemain termasuk pemain simpanan. Penonton akan menyaksikan pertarungan 9 sebelah. 

“Juara bakal memenangi wang tunai RM3000, medal dan piala iringan , naib juara RM2000, ketiga RM1000,” katanya. 

Pengajuran program Explorace 2022 dan pesta bola bandaraya Ipoh ini bersempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh ke-35 tahun. -PERAKTASTIC-