Pasukan Spark Juara From Ipoh With Love Explorace 2023
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 870
IPOH: “Kami terharu dan masih tidak mempercayai kemenangan ini,” kata Ira Syafarina Asrul Effendi, 28, ketua pasukan Spark yang menjuari From Ipoh With Love Explorace 2023 (FIWLE 2023) pada Sabtu, 17 Jun 2023.
Berbekalkan semangat jati diri serta kerjasama berpasukan, pasukan Spark berjaya menyudahkan semua tugasan yang diberi dengan sempurna.
“Kami berasa terharu dan bagaikan tidak mempercayai kemenangan ini. Pada mulanya kami gementar dan hanya sekadar mencuba nasib.
“Kami mengamalkan sikap bekerjasama dan saling mempercayai selain semangat persafahaman adalah teras utama pasukan kami.
“Selain tugasan mencabar, kami juga teruja dengan keunikan bandaraya Ipoh yang dikelilingi keindahan bukit batu kapur dan keramahan masyarakatnya.
“Walaupun saya sendiri berasal dari Ipoh namun masih banyak lagi tempat yang belum saya terokai kerana berhijrah ke Kedah mengikut suami saya,” katanya mewakili dua ahli pasukannya iaitu
suaminya Mohd Hazwan Rosli, 28 dan kawannya Mohd khairulnizam Mohd Suhini, 39.
Pasukan Spark berjaya menamatkan kesemua tugasan pada jam 1.25 petang, melayakkan mereka menerima hadiah wang tunai RM1500.00.
Naib juara, pasukan Black Hawk terpaksa akur dengan kelewatan dua minit iaitu pada jam 1.27 petang dan menerima RM800. Tempat ketiga, Sekutu Yangyang menerima RM500 berjaya menamatkan permainan pada jam 1.29 petang.
Peserta diberi masa selama 7 jam 30 minit, bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 4.00 petang. Setiap pasukan perlu menyelesaikan tugasan di lapan ‘Check Point’ dalam tempoh diberi.
Sementara itu, Yang Dipertua Kelab Sukan Dewan Bandaraya Ipoh, Radin Afifi Ahmad Aruani berkata sambutan explorace pada tahun ini sangat menggalakkan dan melibatkan pelbagai bangsa.
“Acara ini diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun bandar Raya Ipoh ke-35. Saya berharap pada tahun hadapan akan lebih ramai lagi penyertaan dan sokongan dari pihak penaja-penaja.
“Terima kasih kepada MBI, khususnya Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin atas penganjuran FIWLE 2023.
“Selain sukan yang mencabar dan sihat, program ini berjaya mengetengahkan produk-produk pelancongan di sekitar bandaraya dalam membantu mempromosikan Tahun Melawat Ipoh 2023 dan Tahun Melawat Perak 2024,” katanya.
Pelepasan seramai 195 peserta dari 65 pasukan telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Ipoh Dato’ Rumaizi Baharin di hadapan Dataran Bandaraya Ipoh pada jam 8.30 pagi.
Hadiah telah disampaikan oleh Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak. Sebelum itu, hadiah cabutan bertuah turut disampaikan oleh Radin Amir Afifi. -PERAKTASTIC-