Peluang ‘bermain’ bersama entiti paranormal di Kellie’s Castle
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 786
Adakah anda bersedia 'bermain' bersama entiti paranormal di Kellie’s Castle?. Sleep In The Castle (SITC) membuka peluang merasai pengalaman seram yang mungkin sekali seumur hidup.
SITC merupakan aktiviti baharu yang bakal dilansungkan pada Oktober 2023 di Kellie Castle, Batu Gajah.
Pengurus Besar Istana Kellie, Zamari Muhyi berkata aktivti SITC membuka peluang orang ramai merasai pengalaman menyeramkan disamping dapat menguji kekuatan minda dan keberanian seseorang.
“SITC adalah permintaan pengunjung yang sukakan aktiviti mencabar dan merasai pengalaman menyeramkan, namun dalam keadaan selamat.
“Semua sedia maklum, Kellie Castle mempunyai keunikan tersendiri yang penuh mistik serta misteri. Oleh itu, kami mahu orang ramai merasai sendiri pengalaman ‘bertemu’ hantu atau entiti paranormal seperti yang dirasai oleh pengunjung sebelum ini.
“Para peserta SITC akan ditempatkan di empat atau lima buah bilik berlain yang menjadi lokasi diminati entiti antaranya bilik Helen, koridor istana dan bilik dobi.
“Setiap malam hanya 10 orang sahaja dibenarkan dan dibahagikan kepada dua orang setiap bilik. Selain katil, tilam dan selimut peserta juga disediakan minuman seperti nescafe untuk mereka yang tidak boleh melelapkan mata,” katanya kepada Ipoh Echo.
Kellie's Castle adalah Istana yang tidak siap dibina oleh pemilik ladang getah warga Scotland bernama William Kellie-Smith.
Ia dikatakan hadiah untuk isterinya dan juga untuk meraikan kelahiran anak mereka. Malangnya, Kellie-Smith meninggal kerana radang paru-paru pada usia 56 tahun dan pembinaan istana ini tidak sempat disiapkan. Pembinaan istana bermula pada tahun 1915 dan berakhir pada tahun 1926.
Menurut Zamari, SITC bermula dari 11.00 malam hingga 8.00 pagi. Pada keesokan paginya para peserta akan berkongsi pengalaman sewaktu sarapan pagi yang disediakan.
“Melalui pengalaman peserta-peserta lalu, sewaktu Spooky Toon V.2 sempena Kellie’s Castle Paranormal Night Tour yang berlangsung setiap Oktober, pelbagai pengalaman yang seram dikongsikan.
“Mereka dapat merasai kewujudan entiti di sekitar tangah malam. Antara yang diperlakukan oleh entiti itu ialah pakaian mereka ditarik-tarik, terdengar bisikan ditelinga dan api lilin terpadam tiba-tiba.
“Kita lihat sambutan orang ramai pada Oktober nanti, sekiranya memberansangkan aktivti ini akan diteruskan pada setiap sabtu dan ahad pada bulan seterusnya,” katanya.
Zamari juga berkongsi pengalaman di mana dia pernah 'berkomunikasi' dengan roh tukang dobi dari Madras, India, Mr Gopal yang pernah bekerja dengan keluarga Smith.
Katanya, kewujudan entiti di Kellie’s Castle sememangnya nyata namun ianya bergantung kepada nasib seseorang. Selain itu, beliau juga pernah mendengar suara pelik di beberapa bahagian dalam bangunan itu.
“Suasana persekitaran Kellie’s Castle adakalanya memang menyeramkan seperti di bilik linen iaitu tempat tukang dobi dari Madras, Mr Gopal pernah bertugas di situ.
“Bersebelahannya ialah bilik anak perempuan Smith, Helen tidak kurang juga mencabar. Beberapa pengunjung sebelum ini pernah terdengar suara kanak-kanak perempuan sedang menangis terutama menjelang waktu petang.
“Orang ramai tidak perlu bimbang, sebenar entiti di sini tidaklah sehebat seperti dalam filem-filem seram. Reaksi entiti di sini hanya sekadar bermanja-manja dan bergurau-gurau sahaja. Lagipun kami sentiasa memastikan keselamatan para peserta keutamaan kami,”ujarnya lagi. -Peraktastic-