IPOH- Warga Ipoh diingatkan supaya tidak melepaskan diskaun sehingga 50 peratus pakej pelancongan domestik sempena Cuti-Cuti Malaysia 2023.

Diskaun hebat itu ditawarkan selama selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Julai 2023 sempena Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia (JCCM) 2023 di AEON Mall Kinta City Ipoh.

Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata siri keempat penganjuran JCCM 2023 itu bertujuan menggalakkan warga Perak melancong dalam negara sekali gus merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik.

“Sebanyak 26 penggiat industri pelancongan tempatan  terdiri daripada ejen, pemilik produk pelancongan dan hotel menawarkan lebih 100 pakej pelancongan menarik.

“Kita mahu menggalakkan rakyat Malaysia melancong secara terancang menerusi produk-produk   baharu yang lebih kepada ekopelancongan di setiap lokasi terpilih sempena cuti sekolah penggal kedua pada hujung bulan Ogos depan,” katanya kepada Ipohecho selepas acara perasmian JCCM 2023 di sini hari ini.

Antara pakej menarik yang ditawarkan ialah Pakej Explorasi Royal Belum, Pakej Pesta Bulan Mengambang di Muar, Pakej Durian ‘Madness’, Pakej Eksplorasi 8 Pulau di Semporna, Pakej Jelajah Kota Kinabalu dan Kundasang, Pakej Percutian di Gunung Jerai, Pakej Cuti-Cuti Cikgu, Pakej Minat Khas Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Tourism Malaysia, Pakej Selam Skuba ‘Dive Into The Unimaginable’ 2023 dan Pakej Pelancongan Arkeo dan Geopark Lembah Lenggong.

JCCM 2023 akan diteruskan ke empat lagi lokasi di seluruh negara iaitu di AEON Mall Shah Alam (25-27 Ogos), Sunway Carnival Mall (29 September - 1 Oktober), Sunway Pyramid (27-29 Oktober) dan AEON Mall Bandaraya Melaka (10-12 November).

Selain daripada pameran dan jualan pakej pelancongan, JCCM 2023 turut menyajikan persembahan tarian kebudayaan dan muzik, demonstrasi kraftangan, kuiz pelancongan serta cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir. - PERAKTASTIC-