IPOH - Kerajaan negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri (JPN) menganjurkan pertandingan sempena Bulan Kebangsaan bermula 14 hingga 25 Ogos dengan hadiah keseluruhan RM25,000 menjadi rebutan.

Ia melibatkan Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan, Pertandingan Video Tiktok Merdeka, Pertandingan Mobile Instagram Photo dan Pertandingan Silang Kata Online.

Pengarah Jabatan Penerangan negeri Perak, Mohd Rizal Hashim berkata, objektif pertandingan tersebut untuk meningkatkan semangat patriotik yang tinggi melalui kreativiti, pengetahuan dan menzahirkan rasa cinta rakyat kepada negara.

Menurut beliau, kesemua pertandingan ini dilaksanakan khusus untuk rakyat negeri Perak dan mereka yang bermastautin di negeri ini untuk mereka melibatkan diri dalam aktiviti sempena bulan Kebangsaan 2023.

"Bagi Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan, ia bukan hanya sekadar pertandingan hiasan tetapi matlamat utama adalah untuk meningkatkan semangat patriotik melalui kreativiti dan inovasi pengibaran Jalur Gemilang.

"Terdapat 3 kategori yang dipertandingkan iaitu sekolah menengah, sekolah rendah dan bangunan kerajaan/swasta.

"Johan bagi pertandingan ini bakal membawa pulang RM3,000 manakala naib johan RM2,000 dan ketiga RM1,000," ujarnya pada sidang akhbar.

Pertandingan Video Tiktok Merdeka mengkehendakan peserta menghasilkan video kreatif 30 saat untuk mengekspresikan semangat kemerdekaan tanah air melalui elemen kebudayaan, sejarah, bangunan ikonik di negeri Perak atau topik lain yang sesuai.

Tempat pertama bagi pertandingan ini berupa wang tunai sebanyak RM700, tempat kedua (RM500) dan ketiga (RM300) serta 9 hadiah saguhati sebanyak RM150.

Jelas Mohd Rizal, untuk Pertandingan Mobile Instagram Photo pula, para peserta diberi peluang merakam momen-momen Bulan Kebangsaan dengan menterjemah semangat nasionalisme, keindahan alam dan warisan budaya.

Katanya, peserta hanya perlu mengambil gambar bersama ‘Jalur Gemilang’ dengan menggunakan telefon pintar masing-masing.

"Hadiah wang tuna RM700 untuk pertama manakala tempat kedua dan ketiga menerima RM500 dan RM300.00 serta 5 hadiah saguhati RM150.

"Pertandingan Silang Kata Online pula dilaksanakan secara atas talian menampilkan soalan-soalan berbentuk kemerdekaan, sejarah negara dan negeri Perak sekali gus menambah pengetahuan para peserta.

"Peserta juga berpeluang menzahirkan makna kemerdekaan melalui slogan kreatif yang dihasilkan menggunakan tema Malaysia Madani dan Perak Sejahtera 2030.

"Para pemenang akan dipilih berdasarkan jawapan yang tepat serta slogan yang menarik.

"Hadiah bagi tempat pertama berupa wang tunai RM500, tempat kedua (RM300), tempat ketiga (RM200) dan 10 hadiah saguhati RM100," ujarnya.

Justeru, pihak Jabatan Penerangan Negeri Perak menjemput kesemua rakyat negeri Perak untuk mengikuti dan menyertai pertandingan ini.

Maklumat lanjut dan syarat-syarat penyertaan pertandingan ini boleh didapati di laman sosial rasmi Jabatan Penerangan Negeri Perak atau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.  -peraktastic-