IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyaksikan perbarisan dan perarakan sempena Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri Perak di pekarangan Stadium Indera Mulia bersama 25,000 rakyat jelata.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Baginda berdua tiba di lokasi sambutan pada pukul 8.22 pagi dengan ditemani anakanda, Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.

Berangkat sama Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa bersama Raja Puan Muda Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serta isteri, Datin Seri Aezer Zubun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Sambutan bermula dengan perarakan masuk panji unit dan kawalan kehormatan utama dengan iringan pasukan pancaragam KD Pelanduk Tentera Diraja Malaysia (TLDM).

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) 2 Division Kem Sangro, Taiping.

Acara sambutan bermula dengan bacaan ayat suci al-Quran dan doa oleh Imam Besar  Masjid Negeri, Abd Farid Salleh.

 

Sambutan diteruskan dengan perarakan masuk perbarisan 91 kontinjen pelbagai agensi dan kerajaan tempatan, pasukan beruniform universiti awam, sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Antara kontinjen yang menyertai perbarisan berkenaan ialah Angkatan Tentera Malaysia, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Universiti Teknologi PETRONAS dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak. Sambutan berakhir pada pukul 10.00 pagi. -PERAKTASTIC-