Malam Konsert Ipoh Music Symposium 2023 Imbau Nostalgia Muzik Pop 1975-1985
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 683
IPOH- Malam Konsert Ipoh Music Symposium 2023 (IMS2023) berjaya mempertabatkan semula muzik pop 1975-1985 yang pernah suatu ketika dahulu mewarnai industri hiburan negara ini.
Ternyata penampilan artis tanahair di era tersebut seperti Francissca Peter, Atai, Headwind, Alleycats dan Blues Gang menggamit semula nostalgia penonton yang hadir.
Kemunculan kesemua kumpulan dan artis solo itu mengubat rindu Muhamad Azizul Rahim, 43, di antara ribuan penonton yang hadir menyaksikan malam konsert tersebut.
“Saya sememangnya teruja menantikan persembahan-persembahan artis jemputan terutamanya kumpulan Alleycats dengan penyanyi utamanya Dato’ David Arumugam.
“Tidak dapat dinafikan kemunculan penghibur lagenda yang melantunkan lagu Sampaikan Salam Cinta Ku mengembalikan semula nostalgia penonton yang membesar dengan lagu-lagu beliau.
“IMS2023 berjaya mengembalikan semula kegemilangan muzik popular Malaysia sepanjang tahun 1970an hingga 1980an yang kaya dengan pelbagai genre muzik (pop, disco, rock). Begitu juga kemunculan artis dari pelbagai latar belakang etnik,” katanya kepada Ipoh Echo/Peraktastic selepas berakhirnya konsert selama lebih dua jam di Ipoh Convention Centre (ICC) malam tadi.
Turut berkenan berangkat, DYAM Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain.
IMS2023, merupakan acara tahunan edisi siri kelima yang berlangsung dari 6 hingga 8 Oktober anjuran PORT (People Of Remarkable Talents), sebuah agensi budaya yang dibiayai oleh kerajaan negeri Perak (sejak 2011).
Pelbagai acara dijalankan secara percuma antaranya simposium utama, bengkel muzik, pameran pop-up, perbincangan buku muzik, dan konsert utama.
Sebelum itu, majlis perasmian IMS2023 dan Malam Konsert Program IMS2023 telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman pada 7 Oktober 2023 di Hotel Travelodge Ipoh.
Orang ramai masih berkesempatan menyaksikan pameran Muzik Pop Malaysia 1975-1985 yang sedang berlangsung sehingga 12 Oktober 2023 di Dewan Kampar 2, Hotel Travelodge dari jam 10.00 pagi - 6.00 petang.
Antara bahan-bahan pameran yang menarik ialah seperti piring hitam, koleksi pakaian artis dan majalah yang diatur mengikut naratif perkembangan muzik pada tahun 1975 hingga 1985.
Pameran ini dijayakan dengan kerjasama Penang House of Music, Kamura Corproration (M) Sdn Bhd (aset Sudirman Hj Arshad) dan Datuk M. Daud Kilau. -PERAKTASTIC-