Kuala Lumpur- Negeri Perak merupakan negeri pertama di Malaysia melaksanakan promosi secara ‘Internal Wrapping’ di dalam Electric Train Services (ETS).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, YB Loh Sze Yee berkata kaedah ‘Internal Wrapping’ secara langsung memberi  informasi kepada penumpang-penumpang ETS  tentang kepelbagaian produk pelancongan di Perak khususnya kepada pelancong asing.

“Pengiklanan ini mengetengahkan enam segmen khas pelancongan yang popular di negeri Perak iaitu warisan, makanan, alam semulajadi, liburan dan keluarga, serta kraftangan dengan menampilkan elemen warna yang lebih vibran bagi menarik perhatian penumpang ETS.

“Selain itu, kod pengimbas atau kod QR juga disediakan untuk memudahkan pengguna mendapatkan  informasi pelancongan melalui peranti pintar masing-masing.

“Kaedah promosi ini mampu menarik perhatian 200 ribu orang yang menggunakan perkhidmatan ETS pada setiap bulan meliputi wilayah tengah, utara dan selatan semenanjung Malaysia dengan 32 perkhidmatan perjalanan setiap hari dengan purata 11,000 penumpang sehari,” katanya dalam sidang media selepas Perasmian Perak Internal Wrapping ETS di Stesen Keretapi KL Sentral Kuala Lumpur, semalam.

Menurut statistik pada tahun 2022, lebih dari 2.14 juta penumpang menggunakan perkhidmatan ETS di negeri Perak. Antara stesen tertinggi adalah Ipoh (911,286 penumpang), Taiping (290,024 penumpang) dan Batu Gajah (228,312 penumpang).

Terkini, KTM Komuter Utara menyediakan perkhidmatan baharu iaitu jarak laluannya telah dipanjangkan bermula dari Ipoh ke Butterworth dan Butterworth ke Padang Besar dengan 56 perkhidmatan sehari bermula pada pada 16 September 2023 yang lalu.

Kedua-dua perkhidmatan itu bakal menyumbang kepada peningkatan pelancong ke negeri Perak  sempena Tahun Melawat Negeri Perak 2024 (TMP2024).

Perkhidmatan ETS turut menawarkan pelbagai sajian istimewa negeri Perak seperti Rendang Tok, kuih Dangai, Ipoh White Coffee, Kacang Buntong dan juga produk kesihatan HOVID.

Sebelum itu, majlis turut memperkenalkan maskot pelancongan baharu iaitu ‘KOPITA’. KOPITA  adalah singkatan kopi tarik dan tapir. Ia akan berpasangan dengan maskot terdahulu iaitu ‘KOPIRO’.

Pada masa yang sama,  Loh Sze Yee turut merasmikan kalender acara Tahun 2024.

“Lebih 100 acara pelancongan untuk tahun 2024 di peringkat daerah dan negeri telah pun disenaraikan bagi memeriahkan lagi TMP2024.

“Kita mengharapkan sasaran 8.0 juta pelancong domestik dan 350 ribu pelancong antarabangsa bakal tercapai menerusi pelbagai bentuk promosi dan kerjasama semua pihak,” ujarnya. -PERAKTASTIC-