Ipoh- Seramai 83 orang paragawan dan paragawati memperagakan koleksi fesyen sentuhan dari pereka-pereka fesyen dari lima negara sempena International IPOH Fashion Week (IIFW) 2023 di Jalan Bandar Timah, Pekan Lama Ipoh di sini hari ini.

Nidya Sasi, Pereka Fesyen dari Indonesia berkata IIFW2023 membuka peluang untuknya memperkenalkan koleksi terbaharunya.

“Ini kali pertama saya menerima jemputan dari pihak pengajur IIFW. Saya sangat teruja dapat bersama-sama memperkenalkan koleksi saya ke masyarakat Ipoh khususnya.

“Saya memperkenalkan 14 koleksi ‘batik Indonesia’ terbaharu saya. Koleksi saya ini adalah ‘rekaan fesyen jalanan’ bukan yang eksklusif, ia bersesuaian dengan konsep persembahan di jalanan hari ini.

“Saya memperkenalkan koleksi busana ‘kebaya moden’. Saya memilih kain jenis ‘batik tenunan’ yang sememangnya menjadi identiti warisan budaya Indonesia.

“Saya terharu dan gembira dengan sambutan masyarakat di sini. Pastinya tahun hadapan saya akan kembali dengan rekaan fesyen yang lebih kreatif dan menarik,” katanya.

Berlainan pula dengan Perunding Perkhawinan, Mohd Khair Johari Mohamed Saleh,29, dari Ipoh berkata rekaan fesyennya mengikut trend pasaran semasa dan khusus untuk orang yang bersaiz biasa kepada saiz luar biasa.

“Ini adalah penyertaan kali pertama dengan IIFW. Saya mengetengahkan koleksi busana untuk orang yang bersaiz besar berkonsepkan ‘santai’ (beach wear).  

“Bagi saya orang yang bertubuh besar tidak seharusnya tersisih dari dunia fesyen. Mereka juga berhak untuk memperagakan pelbagai fesyen nanum haruslah sesuai dengan ukuran badan mereka serta personaliti mereka. Mereka juga boleh bergaya dan kelihatan cantik.

“Hari ini saya memampilkan 10 pasang busana yang diperagakan oleh model-model bersaiz besar. Ternyata penampilan mereka mendapat perhatian dari penonton,” katanya yang mempunyai butik di Gunung Lang, Ipoh.

Sementara itu, Pengasas IIFW, Louis Sabastian berkata penyertaan pereka fesyen tahun ini meningkat berbanding tahun sebelumnya.

“Tahun ini seramai 18 pereka fesyen terlibat dalam IIFW2023 berbanding tahun lepas iaitu seramai12 orang sahaja.

“Penyertaan kali ini melibatkan lima buah negara iaitu Indonesia, Napal, Singapura, China, Pakistan dan Malaysia. Begitu juga penglibatan model-model dari negara Iran turut memeriahkan acara tahunan ini.

“Untuk tahun hadapan sempena Tahun Melawat Perak 2024, IIFW bakal membawa lebih penyertaan dari seluruh dunia dengan sentuhan pereka fesyen yang lebih kreative dan innovatif,” katanya kepada ketika ditemubal oleh Ipoh Echo/Peraktastic.

Malam semalam, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke IIFW Red Carpet Royal Charity Gala Dinner bertemakan ‘Fashion with a Heart’ di Jubilee Ballroom, Royal Perak Golf Club.

Berangkat sama, YTM Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Tambah Louis, hari kedua IIFW2023 di Jalan Bandar Timah ini mendapat sambutan yang baik dari warga Ipoh yang berbilang bangsa.

Hari ketiga, IIFW2023 akan dilangsungkan di Lumut Naval Town Waterfront Maritime (Dataran Putra).

“Acara kemuncak di Lumut nanti akan lebih meriah dengan persembahan artis tempatan iaitu Ayu Damit.

“Ayu Damit menempa nama menerusi  pertandingan menyanyi realiti One in a Million. Beliau juga merupakan pemenang tempat ketiga bagi program realiti TV Gegar Vaganza musim ketujuh pada tahun 2020,” katanya.

IIFW2023 berlangsung selama tiga hari iaitu bermula 1 hingga 3 disember 2023. -PERAKTASTIC-