Little MD Adventures, menginspirasi kesedaran pendidikan kesihatan untuk kanak-kanak
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 518
IPOH- Pantai Hospital Ipoh (PHI), komited terhadap penglibatan komuniti dalam usaha memupuk kesedaran melalui pendidikan khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Program ‘Little MD Adventures’ ternyata berjaya menyuntik semangat dan kecenderungan kanak-kanak dalam bidang perubatan.
Program bertemakan ‘A Day At Emergency Room’ disertai seramai 100 orang kanak-kanak berusia 7 hingga 11 tahun.
Mereka diberi pendedahan menerusi beberapa aktiviti seperti hubungi talian kecemasan 999, aktiviti penilaian awal/penyakit tangan/mulut dan kaki (HFMD), CT scan, menagani serangan asma, farmasi dan aktiviti pengambilan darah.
Menurut kenyataan media PHI, program ini bertujuan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk memahami operasi unit kecemasan dan pertolongan cemas.
“Aktiviti secara langsung ini memfokuskan bagaimana prosedur menangani kecemasan secara interaktif bersesuai dengan kanak-kanak.
“Pengalaman praktikal ini membolehkan kanak-kanak memahami asas penjagaan kecemasan sambil memupuk rasa tanggungjawab dan kesedaran.
“Pada masa yang sama, para ibu bapa juga berpeluang mengikuti ceramah kesihatan yang disampaikan oleh pakar-pakar perubatan dalam bidang masing-masing.
“Ceramah disampaikan oleh pakar mata dan pembedah glaukoma, pakar perubatan dan endokrinologi dan pakar pemakanan. Topik perbincangan merangkumi penyakit glaukoma, diabetes mellitus dan manfaat bermain untuk kanak-kanak,” katanya.
Pakar Perubatan dan Endokrinologis, Dr S. Tivya dan Pakar Pembedahan Glaukoma Dr Ch'ng Tun Wang turut menyampaikan sijil penyertaan dan ‘goodies bag’ kepada semua peserta. - PERAKTASTIC-