IPOH : Ekonomi negeri Perak terus dipacu menerusi kerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU) sekali gus bakal menyaksikan kemasukan pelaburan luar.

Geran bernilai RM9.5 juta telah diluluskan oleh EU kepada Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).

Geran ini akan digunakan untuk menjalankan kajian terhadap daya tarikan Malaysia dalam sektor pelabuhan dan maritim.

Menteri Besar, Dato' Seri Saarani Mohamad berkata, pemberian geran ini merupakan satu pencapaian penting yang membuktikan kepentingan negara ini sebagai sebuah destinasi pelaburan utama.

Menurut beliau, selain itu, ia membantu Lumut mencapai potensinya sebagai penggerak utama yang memacu pembangunan terangkum dan mampan bagi negeri Perak.

“Kekayaan sumber semulajadi Perak, pembangunan Bandar Perindustrian Maritim Lumut atau Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) menjadikan negeri ini tarikan kepada EU.

“Kajian komprehensif yang akan dijalankan itu merangkumi penilaian bagi menarik potensi EU atau pelabur asing lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa hadir pada Majlis Pengumuman Geran EU oleh PoABI dan PKNPk.

Hadir sama Duta Besar EU di Malaysia, Michalis Rokas; Duta Besar Belgium ke Malaysia, Peter Van Acker dan Pengarah Urusan PoABI, Kristof Waterschoot.

Majlis sama juga menyaksikan sesi menandatangani perjanjian pemegang saham usaha sama menubuhkan LuMIC Development Sdn. Bhd. (LuMIC DevCo).

Kerjasama strategik PKNPk - PoABI menubuhkan LuMIC dan menjadikannya pusat serantau baharu di Selat Melaka adalah sebahagian daripada usaha untuk mencapai wawasan Perak Sejahtera 2030.

Turut berlangsung majlis penyampaian sijil penyertaan kepada 10 pelajar kumpulan pertama untuk memulakan Program Latihan Amali LuMIC.

Program latihan amali dengan kerjasama Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan Institut Darul Ridzuan ini bagi membangunkan kemahiran belia-belia Perak. -PERAKTASTIC-