IPOH: Tourism Perak perhebatkan lagi promosi Tahun Melawat Perak 2024 (TMP2024) dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Tourism Perak bersama Chek Hup Sdn Bhd.

Check Hup Sdn Bhd sebuah syarikat pengeluar terkemuka White Coffee sejak 20 tahun di Ipoh itu tampil menaja sejumlah RM4.5 juta  sebagai sokongan kepada TMP2024.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, jumlah tersebut merangkumi aktiviti promosi dan iklan menerusi produk keluaran Chek Hup.

“Kita juga akan membawa produk ini di setiap acara kerajaan negeri termasuk di daerah-daerah sekaligus menjadikan jenama ini sebagai kopi rasmi negeri Perak.

“Bukan itu sahaja, produk Chek Hup juga akan dibawa ke acara-acara kerajaan yang bakal berlangsung di luar negara.

“Memorandum Persefahaman (MoU) ini merupakan usaha kreatif yang memberi faedah dan kebaikan kepada kedua pihak. Selain dapat menjimatkan kos pembiayaan pengiklanan, ia juga mampu memperkenalkan produk-produk pelancongan utama di negeri Perak,” katanya kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Tourism Perak dan Chek Hup pada khamis.

Majlis menandatangani MoU itu telah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa dengan Ketua Pengarah Kumpulan Chek Hup Sdn Bhd, Joseph Tan.

Antara  produk pelancongan  yang dipaparkan di ruangan bungkusan produk  Chek Hup ialah Tin Dredge No.5; Kellie’s Castle;  Menara Condong Teluk Intan, Taman Tasik Taiping dan Gerbang Perniagaan Paloh di Ipoh.

Sementara itu, Pengarah Urusan Chek Hup Sdn.Bhd, Joseph Tan berkata, MoU yang dipersetujui ini mampu membantu industri pelancongan negeri Perak khusunya TMP 2024 memandangkan pasaran produk Chek Hup kini memecah pasaran ke antarabangsa.

“Kami juga telah memasarkan produk Chek Hup ke 15 buah negara, antaranya Indonesia, Singapura, Amerika Syarikat dan banyak lagi.

“Saya yakin, usaha mempromosikan ikon pelancongan utama di negeri Perak ini menerusi produk kami mampu menarik lebih ramai pelancong  antarabangsa  untuk datang ke Perak,” katanya.

Antara produk keluaran Chek Hup ialah pelbagai jenis Kopi Putih Ipoh, Kopi Colombia Mikrotertumbuk Klasik, Kopi Tarik, Cham Tarik, Kopi Gourmet Colombia Mikrotertumbuk Berperisa, Kopi Bulletproof, Kopi Hitam, Teh Susu Gula Perang, Teh Tarik dan Minuman Coklat Kokoo. Kesemua produk itu mempunyai rasa dan aroma tersendiri disamping tahap kemanisan yang berbeza. - PERAKTASTIC-