Rebus 48 jam, menu warisan tiga generasi
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 1316
‘Masak Pindang Ikan Loma Daun Seniar’, bunyinya agak luar biasa tetapi inilah sajian tradisional Melayu Perak yang hanya terdapat di Teratak Warisan Kampung (TWK), Kuala Kangsar.
Menu yang diwarisi daripada tiga generasi ini, mengambil proses selama 48 jam untuk disediakan. Walaupun diakui rumit, namun inilah keistimewaan sajian utama restoran TWK yang tiada di negeri lain.
Pengurus TWK, Saidi Othman Mahiyuddin, 54, berkata penyediaan masakan tradisi itu sepenuhnya menggunakan isi ikan Loma segar yang diperolehi dari Sungai Perak.
“Ikan Loma yang telah dipotong akan dicampur dengan hirisan bawang, serai, halia, belimbing buluh dan beberapa jenis sambal yang telah ditumbuh.
“Kesemua bahan itu akan dibungkus menggunakan ‘daun seniar’ serta diikat kemas dengan tali. Seterusnya bungkusan itu akan direbus selama 2 hari (48 jam) dengan api yang perlahan. Sepanjang tempoh rebusan kita akan dapat menikmati aroma harum yang membangkitkan selera.
“Bungkusan ikan yang telah masak itu boleh dimasak gulai lemak atau pun asam pedas. Harga sebungkus Masak Pindang Ikan Loma Daun Seniar ini ialah RM8.50.
‘Inilah makanan orang dahulu yang menjadikannya sebagai bekalan dalam perjalanan merentasi hutan belantara. Sajian ini tiada terdapat di mana-mana kecuali di TWK sahaja,” katanya kepada Ipoh Echo/Peraktastic.
Selain menu istimewa itu, terdapat juga 15 jenis sajian tradisonal melayu yang menjadi kegemaran para pengunjung.
Antara menu yang mendapat permintaan tinggi ialah Gulai Tempoyak Ikan Patin, Ayam Masak Rendang, Gulai Lemak Sotong Segar, Gulai Lemak Ikan Tenggalan Sungai Perak, Gulai Lemak Telur Sotong , Sambal Tumis Sotong Merah dan Rendang Pedas Ayam.
Sebanyak 15 jenis ulam-ulaman segar setiap hari disediakan antaranya Pucuk Kaduk, Pucuk Gajus, Ulam Raja dan Bayam Brazil. Pelbagai jenis sambal juga disediakan seperti Sambal Tempoyak, Sambal Kuinin, Sambal Belacan dan beberapa lagi.
Menurut Saidi Othman, beliau menerima 500 hingga 600 orang pengujung setiap hari terutama pada hari cuti umum dan musim cuti sekolah.
“Kami menerima bukan sahaja pengunjung tempatan malah pelancong-pelancong asing. Selain citarasa masakan kampung mereka juga menggemari ikan panggang dan ayam panggang, resepi asli isteri saya.
“Kami juga menyediakan sarapan pagi dengan menu tradisonal seperti Nasi Lemuni Ikan Masin dan Nasi Lemak serta kuih muih.
“TWK telah beroperasi hampir 25 tahun dan semestinya kami memahami citarasa pengunjung yang terdiri daripada pelbagai bangsa.
“Harga, bergantung pada jenis ikan dan saiz mengikut harga pasaran terkini. Kami tidak mahu membebankan pengunjung dengan harga diluarkan kemampuan, kami mahu semua orang boleh menikmati sajian selera kampung yang dimasak oleh isteri saya.
“Kami tetap mengekalkan konsep selera kampung kerana sepanjang tempoh perniagaan ini, sambutan sentiasa menggalakkan dan ternyata sajian citarasa kampung digemari sepanjang zaman,” katanya.
TWK beroperasi 8.00 pagi hingga 4.00 petang setiap hari kecuali hari Ahad. Hubungi Saidi Othman 016 558 4955 untuk pertanyaan dan tempahan. -PERAKTASTIC-