Mesin Tebu berusia 104 Tahun, hiasi Aki’s Gallery
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 814
Sejurus melangkah masuk ke Aki’s Gallery, perasaan kagum melihat pelbagai koleksi barangan antik menghiasi setiap ruang rumah Melayu lama yang pastinya menyimpan sejarah tersendiri.
Rumah Melayu lama yang dibina pada tahun 1957 itu, milik Lukhman Mahmud, 63, atau lebih dikenali sebagai Tok Aki yang berasal dari Kampung Chepor, Lenggong.
“Koleksi barangan antik ini, saya kumpulkan lebih 15 tahun lalu dan ada diantaranya sumbangan daripada beberapa individu untuk disimpan di sini.
“Kini lebih 500 koleksi barangan antik dipamerkan. Walaupun mulanya isteri saya kurang bersetuju dengan hobi saya ini, namun ia tidak menghalang minat saya. Sejak itu, saya mula terfikir untuk mewujudkan satu galeri.
“Kebanyakkan barang antik ini disimpan di dalam almari supaya nampak lebih kemas dan menarik antaranya seterika, peralatan pertukangan, telefon, tembikar besi dan aksesori majlis perkahwinan,” katanya ketika ditemubual sewaktu lawatan media sempena Karnival Argopelancongan Perak 2024 anjuranPerbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak.
Melewati di suatu sudut ruang yang agak sederhana luas, secara tiba-tiba nostalgia zaman kanak-kanak penulis terimbau. Ruang dapur yang dilengkapi dengan dapur kayu lama, pinggang mangkuk tersusun rapi di atas ‘para-para’ dan beberapa peralatan lain benar-benar mengimbau kenangan silam.
Menurut Tok Aki, rumah Melayu lama terbahagi kepada tiga bahagian iaitu ruang serambi, rumah ibu dan rumah dapur.
“Ruang serambi, terletak di ruang luar selepas menaiki tangga utama. Ia merupakan ruang menyambut tetamu selain sebagai ruang bagi kaum lelaki bersembang.
“Rumah ibu (ruang tengah) yang juga merupakan ruang tetamu bahagian dalam rumah. Kebanyakkannya ruang ini mempunyai sebuah bilik kecil untuk anak perempuan.
“Sementara rumah dapur pula terletak di bahagian belakang rumah yang berukuran lebih kecil daripada ruang ibu. Ia digunakan sebagai tempat memasak dan menyimpan peralatan dapur,” katanya.
Sementara itu, di bahagian luar juga dipamerkan koleksi lama yang tidak kurang menarik antaranya tempayan lama, alat pembajak sawah, labu air, kerusi lama yang digunakan di kedai gunting rambut dan peralatan menoreh getah.
Namun paling mencuri perhatian penulis ialah sebuah mesin pemerah tebu milik bapa mertua Tok Aki. Mesin tersebut telah digunakan sekitar tahun 1920an.
“Mesin tebu ini berusia 104 tahun digunakan untuk memerah tebu. Pada masa itu, gula diperbuat dari tebu untuk kegunaan harian.
“Gula tebu juga boleh makan bersama ubi kayu yang direbus atau digoreng. Sekiranya gula tebu itu disimpan lama ia akan bertukar keperangan dan digunakan sebagai pemanis kopi dan teh,” katanya.
Tambah Tok Aki lagi, setiap barangan yang dimilikinya mempunyai nilai sentimental tersendiri dan memberi pendidikan kepada generasi baharu.
“Selain memberi sumber pengetahuan menerusi sejarah barangan pameran yang ada, saya juga bersedia berkongsi cerita tentang sejarah Lenggong.
“Saya percaya masih ramai tidak mengetahui secara mendalam sejarah Lenggong termasuklah dari sudut geoglogis, warisan budaya, makanan dan kesenian. Sebenarnya Lenggong adalah daerah yang kaya dengan sejarah mengagumkan” ujarnya.
Kepada yang berminat untuk berkongsi pengalaman bersama Tok Aki bolehlah meluangkan masa mengunjungi Aki’s Gallery yang terletak di Kg. Chepor, Lenggong.
Bayaran masuk sebanyak RM10.00 dewasa, pelajar sekolah menengah RM5.00 dan sekolah rendah diberi percuma. - PERAKTASTIC-