Kuak Hill Resort: ‘Nature Healing’ Yang Dicari-Cari!
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 1104
Merasa lelah dan tertekan dengan kehidupan yang sibuk dikota metropolitan? Anda pasti sedang mencari tempat percutian untuk mengembalikan keceriaan dan aura positif yang hilang.
Kuak Hill Resort (KHR), Kampung Kuak, Lata Papan, adalah pusat pelancongan baharu berkonsepkan ‘Nature Healing’ yang menjanjikan ketenangan sepertimana diharapkan.
Kewujudan resort mesra alam ini, sekaligus memantapkan lagi Lembah Lenggong sebagai lokasi geopelancongan yang iktiraf sebagai Geopark Kebangsaan pada 16 Disember 2021.
Pengurus Kuak Hill Resort, Mohd Azrul Nizam Aziz berkata keistimewaan geografi resort ini terletak di puncak bukit yang membolehkan pengunjung menikmati panorama indah Tasek Raban serta dilingkasi dengan Banjaran Titiwangsa dan Banjaran Bintang.
“KHR menawarkan dua jenis penginapan iaitu glamping dan villa. Terdapat enam tapak glamping di mana satu tapak terdapat dua khemah pada harga RM199.
“Untuk penginapan di villa, terdapat tiga jenis villa iaitu villa satu katil (RM349), dua katil RM399) dan villa dua tingkat (RM749).
“Kami juga menyediakan peralatan khemah untuk disewa, tempat letak kereta khas di Kg Lata Papan, perkhidmatan pengangkutan 4x4 dari tempat letak kereta ke resort, mini zoo, galeri merchandise, surau, BBQ dan aktiviti ATV,” katanya kepada media sempena lawatan pengenalan Karnival Agropelancongan Perak (PAC 2024) anjuran Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC), Perak, baru-baru ini.
Menurut Mohd Azrul lagi, pengunjung berpeluang merasai sendiri kesegaran air pergunungan yang mengalir terus ke kolam renang infiniti. Air kolam ini telah melalui proses penapisan di tiga peringkat pada ketinggian tiga kilometer.
“Aktiviti ‘jungle walk’ juga antara aktiviti yang digemari kerana pengunjung akan merasai pengalaman lebih dekat dengan alam semulajadi seperti air terjun yang menarik.
“Paling istimewa di sini, pada bulan Jun hingga Ogos, pengunjung berpeluang menikmati buah-buahan secara percuma dan makanlah selagi mampu yang boleh. Terdapat lapan ekar dusun buah-buahan yang kebanyakkannya ditanam dengan pokok durian,” ujarnya lagi.
Untuk info lanjut bolehlah menghubungi 013-870 5101 atau lawati laman web: kuakhillresort.com - PERAKTASTIC-