Seni silat Melayu, seni mempertahankan diri telah berabad-abad berakar umbi dalam budaya Melayu, kini terus terpelihara sebagai warisan yang disanjung tinggi.

Bak kata peribahasa Melayu, ‘Hanya Jauhari Mengenal Manikam’, setiap gerak langkah yang tercipta hanya mampu dihayati sepenuh jiwa raga oleh mereka yang benar-benar menguasai dan mewarisi seni warisan ini.

Antara persatuan yang masih unggul dalam mempertabatkan seni ini ialah Persatuan Seni Silat Serimau Hitam Perak (PSSSHP).

Ditubuhkan pada tahun 1971 oleh Ketua Guru Utama, Almarhum Baharum Hathir, atau lebih dikenali sebagai Bapak Baharum. PSSSHP telah berkembang menjadi simbol kekuatan serta ketangkasan dalam memupuk semangat perjuangan dan kesenian yang tinggi dalam kalangan para pesilatnya.

Malah, seni silat bukan sahaja melahirkan generasi yang taat kepada perintah agama, menghormati ibu bapa dan guru-guru, tetapi berupaya membentuk individu yang berdisiplin dan beretika tinggi.

Ketua Guru Utama, Noor Aslan Baharum, meneruskan legasi arwah bapanya yang telah meninggal dunia pada 8 Ogos 2006. Baginya, jawatan Ketua Guru Utama adalah amanah yang harus disempurnakan demi memastikan warisan ini terus hidup hingga ke generasi seterusnya.

“Pada asalnya, persatuan ini dikenali sebagai Persatuan Seni Silat Selima Hitam, nama yang mencerminkan gabungan lima jenis persilatan yang dipelajari oleh pengasasnya iaitu arwah ayahanda saya.

“Kelima-lima jenis seni silat itu ialah Seni Silat Cekak, Seni Silat Jawa, Seni Silat Gayong, Seni Silat Sambarani, dan Seni Silat Wali Suci. Gabungan itu, melahirkan suatu bentuk silat yang agresif, kasar, keras, lincah, dan pantas.

“Setiap pesilat di bawah bimbingan persatuan ini dikehendaki melalui ujian-ujian getir dengan tabah dan sabar, mencerminkan ketangkasan seekor harimau yang juga menjadi lambang semangat persatuan ini,” katanya kepada Ipoh Echo/Peraktastic sewaktu ditemubual selepas Majlis Penganugerahan Tauliah Bengkung & Selepang 2024, di SMK Toh Indera Wangsa Ahmad, pada Ahad.

Pada tahun 1986, demi memelihara, mengembangkan, dan memartabatkan Seni Silat Melayu sebagai warisan budaya tradisi, persatuan ini didaftarkan secara rasmi di bawah Akta Pendaftaran Pertubuhan 1966.

Jelas Noor Aslan, nama persatuan turut ditukar kepada Persatuan Seni Silat Serimau Hitam Perak, mengambil kira lambang semangat persatuan iaitu ‘Harimau’ dan warna ‘Hitam’ yang merujuk kepada pakaian tradisi pesilat.

“Moto persatuan ini adalah Berilmu, Beriman, Beramal yang membawa maksud bahawa PSSSHP berfungsi sebagai gedung untuk ahli-ahlinya menimba ilmu jasmani dan rohani.

“Ahli-ahli diharap dapat menjadi individu yang beriman kepada Allah S.W.T serta ajaran-Nya, dan mampu beramal dengan bertanggungjawab terhadap diri, agama, bangsa, dan negara,” tegasnya.

Majlis Penganugerahan Tauliah Bengkung & Selepang itu telah dihadiri lebih 200 orang pesilat seluruh Perak termasuk jurulatih dan ahli jawatan kuasa.

Majlis turut dihadiri Presiden PESAKA Negeri Perak, Dato’ Zainol Fadzi Paharuddin.

Selain acara penganugerahan, majlis turut mempersembahkan demontrasi silat antaranya daripada kumpulan pesilat SMK Convent Batu gajah, SMK TIWA dan Universiti Teknologi Petronas.

Demontrasi ujian kebatinan turut menarik perhatian pengujung antaranya mandi minyak, lompat gelung api dan beberapa lagi sebelum para pesilat layak menerima anugerah bengkung daripada Ketua Guru Utama. - PERAKTASTIC-