“Melibatkan diri dalam persilatan antara jalan terbaik mengenali diri sendiri dan lebih dekat dengan Allah S.W.T,” tegas Muhammad Haikal Najmi Abdul Razak, 19, salah seorang pesilat Persatuan Seni Silat Serimau Hitam Perak (PSSSHP).

Pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu menegaskan keyakinan,  kekuatan mental dan fizikal nya semakin bertambah sejak melibatkan diri dengan aktiviti seni silat.

"Keyakinan, kekuatan fizikal dan mental seorang pesilat banyak dipengaruhi oleh amalan sendiri seperti memperbanyakkan zikir serta selawat harian selain melaksanakan perintah yang diwajibkan.

“Apabila kita sampai ke satu tahap, kita akan berserah kepada Allah sebulat-bulatnya. Jika kita yakin dengan kekuasaan Allah, in sya Allah semuanya dapat disempurnakan dengan mudah.

“Saya mengambil  dua ujian kebatinan, iaitu ‘mandi minyak’ dan ‘batang pisang’, ia cukup menguji keyakinan dan ketahanan mental. Bagi saya, kekuatan bukan pada diri saya tetapi wujud di antara saya dengan Allah SWT,” katanya pada Peraktastic selepas Majlis Penganugerahan Tauliah Bengkung & Selpang 2024, di SMK Toh Indera Wangsa Ahmad, Batu Gajah, baru-baru ini

Beliau juga berharap generasi muda hari ini mempelajari seni silat untuk memperbaiki diri seperti yang diterapkan dalam moto PSSSHP iaitu Berilmu, Beriman, Beramal.

"Sekiranya ada ilmu pertahanan diri, sekurang-kurangnya kita telah bersedia untuk sebarang kemungkinan dan berkeyakinan ke mana sahaja. Bukan sahaja melindungi diri sendiri tetapi juga keluarga dan orang-orang tersayang."

"Selain itu, penglibatan saya dalam PSSSHP ialah kerana saya ingin mengenali apa yang bangsa saya perjuangkan untuk mempertahankan tanah air sendiri," ujarnya yang berasal dari Gombak, Selangor.

Senada dengan luahan Muhammad Haikal Najmi, seorang lagi pesilat dari Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Muhammad Hafiz Zahirulhaq Nazrihudin, 20, berkata seni silat bukan sahaja untuk mempertahan diri tetapi dapat mengetahui pelbagai ilmu dan rahsia budaya Melayu.  

“Pada awalnya, saya berpendapat seni silat hanyalah untuk mempertahankan diri, tetapi lama kelamaan saya dapat mengetahui lebih banyak adat budaya Melayu.

“Dalam ilmu persilatan, banyak rahsia-rahsia adat Melayu dapat diketahui seperti amalan dan pantang larang sesuatu perbuatan. Ia juga dapat mempertingkatkan kenyakinan diri dan keimanan.

“Generasi muda hari ini, diwajibkan untuk menghargai dan mewarisi warisan adat budaya Malayu. Sekiranya kita tidak mempertabatkan seni silat Melayu, siapa lagi jika bukan kita sendiri. Jangan biarkan ianya pupus begitu sahaja,” ujarnya.

Berlainan pula pendapat seorang pesilat perempuan iaitu Nur Nadhirat Kauthar Sahala Immar, 17, dari SMK TIWA, Batu Gajah berkata beliau mempelajari ilmu persilatan sebagai persediaan diri untuk sebarang kemungkinan.

“Seni bela diri merupakan salah satu wadah yang baik untuk kita bersosial dan mengelakkan diri dari menjadi mangsa jenayah. Kita perlu tahu mempertahankan diri sendiri bila berhadapan dengan situasi yang tidak diingini.

“Bersilat juga, menyihatkan tubuh badan kesan daripada pelbagai pergerakan sewaktu latihan,” katanya.

Majlis Penganugerahan Tauliah Bengkung & Selpang 2024 telah dirasmikan oleh Ketua Guru Utama, Noor Aslan Baharum. Beliau meneruskan legasi arwah bapanya Almarhum Baharum Hathir (Bapak Baharun) yang meninggal dunia pada 8 Ogos 2006. 

Noor Aslan turut menyempurnakan demontrasi ujian kebatinan kepada para pesilat PSSSHP iaitu ujian lompat gelung api, batang pisang, atap genting dan mayang pinang.

Beliau juga turut menyempurnakan acara ‘mandi pedang’ sebagai simbolik kepada kepahlawan Melayu. - PERAKTASTIC-