Istana Kellie, Ungguli Sektor Pelancongan Warisan Negeri Perak
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 336
Ipoh: Penganugerahan ‘Best Heritage Tourism Attraction’ oleh Malaysia International Tourism Development Association (MITDA) kepada Istana Kellie, ternyata mengungguli sektor pelancongan warisan di negeri Perak.
Pengurus Besar Istana Kellie, Zamari Muhyi menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai suntikan semangat untuk terus memelihara khazanah berharga yang berusia 109 tahun itu.
“Misteri dan kisah-kisah seram setiap penjuru Istana Kellie sememangnya memikat perhatian pengujung sekaligus menjadikannya salah satu destinasi utama pelancongan seram atau 'Dark Tourism' di rantau ini.
“Keunikan itulah telah mengangkat Istana Kellie sebagai pemenang anugerah tersebut dan sekaligus diiktiraf sebagai destinasi warisan terunggul yang berjaya memikat hati pelancong dengan kisah-kisah sejarah dan legendanya.
“Keunikan seni bina yang menggabungkan elemen Mughal-Moorish, Indo-Gothic, Greco-Roman, dan pengaruh Timur-Barat disamping kehebatan kisah cinta antara Smith dan isterinya, Agnes, menambahkan lagi kekuatan daya tarikan tersendiri kepada pengunjung,” katanya ketika dihubungi oleh Ipoh Echo/ Peraktastic.
Anugerah berprestij itu telah sampaikan oleh Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah pada Majlis Anugerah Industri Pelancongan di Royal Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Zamari, sebelum ini inisiatif pelancongan seram di Istana Kellie telah mendapat respons positif daripada 400 ahli Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) semasa sesi pembentangan maya pada tahun 2020.
Pada masa sama, Tourism Malaysia telah meletakkan Istana Kellie sebagai salah satu destinasi utama pelancongan seram di Malaysia, selepas Pulau Pinang.
Reaksi daripada ahli PATA sangat memberangsangkan kerana Istana Kellie bukan sahaja mudah diakses tetapi juga menawarkan pengalaman pelancongan seram yang selamat untuk para pengunjung.
Menjawab soalan bagaimana menarik lebih ramai pengunjung khususnya generasi muda, beliau berkata cabaran utama dalam memulihara dan mengekalkan pelancongan warisan terletak pada usaha dan kreativiti yang dilaksanakan.
“Dalam mencapai matlamat itu, penerimaan generasi muda perlu digalakkan dengan menggabungkan unsur-unsur lain yang lebih relevan dengan minat mereka, seperti kecantikan landskap, keunikan penceritaan, dan persembahan yang kreatif.
Dengan inisiatif itu, diharapkan sejarah yang ada dapat dipelihara dengan lebih baik, sambil menambah nilai kepada produk warisan agar ia kekal relevan dan seimbang untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” tegasnya. -PERAKTASTIC-