PUO Ubah Nasib OKU, 14 Graduan OKU Terima Sijil Kemahiran
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 367
IPOH - Kasih ibu membawa ke syurga. Begitulah perumpamaan yang tepat menggambarkan kasih sayang Azizah Harun, 62, yang menjaga lima orang anak Orang Kurang Upaya (OKU) daripada tujuh beradik.
Baginya, setiap dugaan yang datang perlu diterima dengan hati yang redha, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran demi memastikan kebajikan anak-anaknya terjamin.
Azizah turut meluahkan rasa bangga apabila anak bongsunya, Nur Elya Suhada Anuar, 23, berjaya memperoleh Sijil Kemahiran Awam (Pembinaan), yang sedikit sebanyak mengubat hatinya.
"Nur Elya Suhada sangat tekun dan bersemangat dalam menimba ilmu, dengan sokongan kami sekeluarga. Walaupun dilahirkan sebagai OKU, dia tergolong dalam kategori kurang upaya pendengaran, di mana dia tidak dapat mendengar dengan jelas di kedua-dua belah telinga.
"Anak saya masih memerlukan alat bantuan pendengaran, yang memudahkannya belajar di Politeknik Ungku Omar (PUO).
"Saya mahu dia meneruskan pengajian dalam bidang ini. Namun, sehingga kini PUO masih belum menawarkan kursus Kemahiran Awam (Pembinaan) di peringkat Diploma. Saya percaya dia mampu melangkah lebih jauh dalam bidang ini.
"Saya bangga dengan kejayaannya hari ini, namun hasrat saya adalah untuk melihatnya memperoleh Diploma sebelum saya menutup mata. Ini kerana dia antara anak OKU saya yang boleh bertutur walaupun tidak terlalu jelas," katanya kepada Ipoh Echo/Peraktastic selepas Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-52 Politeknik Ungku Omar (PUO), pada hari ketiga majlis berlangsung.
Nur Elya Suhada memulakan pengajian peringkat Sijil Kemahiran Awam (Pembinaan) di PUO sejak tahun 2022. Beliau merupakan antara 14 pelajar OKU yang berjaya menerima sijil tersebut dengan CGPA melebihi 3.50.
"Kejayaan saya hari ini adalah berkat sokongan dan kepercayaan ibu bapa saya, serta kerjasama tenaga pengajar PUO yang amat membantu, terutama melalui sistem pembelajaran yang mesra OKU.
"Saya juga berharap dapat meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya di PUO, khususnya dalam bidang ini," katanya dengan bantuan ibunya.
Nur Elya Suhada yang berasal dari Taman Seri Keramat, Kuala Lumpur, kini bekerja sebagai Pelukis Pelan di IM Global Property Consultants Sdn. Bhd.
Sijil khas pembinaan ini, menyediakan pelajar dengan asas teori dan praktikal dalam bidang pembinaan, termasuk kemahiran CAD, perpaipan, kerja kayu, dan binaan. Kursus ini meliputi pelbagai aspek seperti aplikasi komputer, matematik, bahan binaan, lukisan kejuruteraan, dan asas penyeliaan tapak bina.
Graduan program ini berpeluang memulakan kerjaya sebagai pelukis pelan, carpenter, plumber, brick layer, painter, juruteknik awam, atau usahawan dalam bidang teknologi pembinaan.
Sementara itu, seorang lagi graduan OKU pendengaran dan bisu, Muhammad Ainnuddin Zinurain, 24, dari Serawak turut berjaya menerima sijil yang sama.
Muhammad Ainnuddin memilih Politeknik Ungku Omar (PUO) kerana minat mendalamnya terhadap bidang kemahiran serta impian untuk menjadi jurutera pertukangan.
"Saya amat tertarik dengan bidang kemahiran yang disediakan khusus untuk golongan OKU. Sistem pembelajaran di sini sangat membantu selain jurubahasa isyarat yang memudahkan proses belajar.
"Jika PUO menawarkan program Diploma atau Ijazah dalam bidang yang sama ini, pasti saya akan meneruskan pengajian di sini. Saya selesa belajar di sini kerana kemudahan yang disediakan, selain bantuan daripada rakan-rakan yang banyak membantu," katanya.
“Saya mencadangkan kepada rakan-rakan yang senasib dengan saya, PUO adalah pilhan yang tepat untuk mendapatkan sijil kemahiran dan saya percaya kemahiran yang diperolehi memenuhi keperluan industri semasa,” katanya dalam bahasa isyarat yang diterjemahkan oleh Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam PUO, Erwan Abdul Thalib.
Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 telah berlangsung dari 26 – 30 Ogos 2024 melibatkan 1,748 graduan dari 20 bidang berjaya menamatkan pengajian.
Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar Ke-52 disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Negeri Perak. - PERAKTASTIC-