Perkeso Serah FPM
- Details
- Norraidah Awang
- Komuniti
- Hits: 687
BAGAN SERAI- "Pemergian arwah ayah, ternyata memberi impak besar pada kami sekeluarga kerana hari itu (hari kejadian), ayah baru empat hari berkerja dan sedang mengumpul duit untuk menyara keluarga termasuk saya yang akan menyambung pengajian di Politeknik Ungku Omar (PUO) pada 4 Ogos ini," kata Muhammad Huzairi Mohammad Huda.
Muhammad Huzairi, 18, anak kedua dari empat beradik berkata, dia sekeluarga cukup terkesan dengan pemergian ayahnya, Mohammad Huda Ismail, 47, yang meninggal dunia ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan Sri Siakap (SKSS), Kuala Kurau pada Sabtu lalu, berikutan sedang mencari rezeki untuk menyara keluarga.
"Sebelum ini, arwah ayah berkerja di Seberang Jaya, Pulau Pinang namun disebabkan masalah pengangkutan dan jarak yang jauh ayah terpaksa berhenti dan mencari perkerjaan lain.
"Sewaktu kejadian, arwah ayah baru empat hari bekerja sebagai tukang kebun di SKSS dan arwah ayah tidak ada sebarang penyakit kritikal.
"Berita mengenai pemergiannya amat mengejutkan kami sekeluarga. Walaupun masih terkesan dengan kehilangannya namun tidak melunturkan semangat saya untuk menyambung pelajaran di peringkat Diploma Kejuruteraan Elektronik Komputer di PUO pada awal bulan hadapan.
"InshaALLAH saya akan belajar bersungguh-sungguh bagi membantu keluarga dan membalas jasa ayah yang berkorban untuk kami sekeluarga," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Cawangan Taiping, hari ini.
Dalam kunjungan itu, Perkeso menyerahkan replika cek Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM 2,000 kepada isteri arwah, Wahida Napiah, 41, yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.
Sementara itu, Sham berkata pihaknya amat berterima kasih kepada pihak Perkeso berikutan tindakan pantas mereka tampil membantu keluarga mangsa yang juga waris utama orang berinsuran.
Dalam pada itu, Wahidah berkata pihaknya terkejut dan langsung tidak tahu menahu tentang FPM berjumlah RM 2,000 dan pencen penakat seumur hidup (jumlah tidak dinyatakan) yang bakal diterima.
Menurutnya, dia akan menggunakan wang tersebut untuk menyara anak-anak dan keluarga.
"Terima kasih pihak Perkeso Prihatin yang tampil membantu kami.
"InshaALLAH yang dan pencen yang diterima akan digunakan sebaik mungkin untuk anak-anak," katanya.