Kampar - Penaung Persatuan Wanita Penjana Ekonomi (PWPE), Kampar, Dato’ Nolee Ashilin Mohamed Radzi menyeru golongan wanita luar bandar agar dapat berdaya saing mempelopori perniagaan secara atas talian (online) selaras dengan perkembangan pesat teknologi digital.

Beliau berkata kesan daripada ancaman pendemik Covid-19, urusan perniagaan beralih arah secara digital kerana ianya lebih mudah, selamat dan menguntungkan.

“Sekarang kita lihat perniagaan atas talian semakin popular, ini membuka peluang kepada usahawan wanita menjana ekonomi di rumah sambil menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Penubuhan Persatuan Wanita Penjana Ekonomi bertepatan pada masa sekarang di mana kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Sektor perniagaan terbuka luas dan pelbagai peluang tersedia.

“Diingatkan semua ahli PWPP haruslah bergerak secara berkumpulan untuk bersama menjana ekonomi. Kerajaan negeri sentiasa membantu dalam memastikan persatuan ini bergerak cergas dalam bidang perniagaan selain dari aktiviti kebajikan”, katanya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak.

PWPE kini mempunyai seramai 75 orang yang terdiri dari ibu tunggal, suri rumah dan usahawan wanita kecil-kecilan sekitar sekitar daerah Kampar. PWPP bakal bergerak cergas dalam pelbagai aktiviti menjana ekonomi dan kebajikan ahli-ahlinya.

Pengerusi PWPE, Mariyana Ariffin, 43, berkata PWPE telah merangka beberapa aktiviti yang melibatkan komuniti setempat di samping mengenal pasti golongan sasaran yang memerlukan bantuan.

“PWPE merupakan persatuan yang bersedia memberi khidmat kepada masyarakat terutamanya kepada golongan kurang bernasib baik. Kita akan mencari jalan penyelesaian melalui saluran yang betul.

“Kami mahu golongan wanita desa terutamanya bergiat cergas dan berjaya dalam apa sahaja bidang perniagaan yang dapat menjana ekonomi keluarga.

“Apa yang harus kami lakukan ialah memberi banyak tunjuk ajar dan latihan kepada semua ahli tentang peluang dan strategi perniagaan mengikut trend masa kini. Kita tidak mahu melihat ada yang terpinggir dan masih menjalankan perniagaan ditakuk lama”, katanya selepas Majlis Perasmian PWPE di Hotel Grand Kampar yang disempurnakan oleh Dato’ Nolee Ashilin, semalam.