Teruja terima tangan elektronik prototaip cetakan 3D
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 844
IPOH: Kegembiraan dan keterujaan adik Izza Adeera Faaizul Hisham, 7, jelas terlihat apabila menerima tangan kanan elektronik prototaip cetakan tiga dimensi (3D).
Izaa Adeera merupakan kanak-kanak kurang upaya (OKU) yang menerima tangan kanan elektronik cetakan 3D yang dihasilkan Ketua Pegawai Eksekutif MyVista, Sujana Mohd Rejab atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Su’ dari syarikat MyVista.
Izaa Adeera yang ditemani oleh bapanya Faaizul Hisham Die, 42, berkata mengalami kecacatan tangan kanan sejak lahir. Hasratnya untuk melihat anaknya gembira tidak pernah terpadam malah ini merupakan kali kedua anaknya memiliki tangan palsu.
“Sebelum ini dia pernah memakai tangan palsu, namun keadaan fizikal tangan anaknya itu kecil, dia tidak berasa selasa untuk menggunakannya dalam tempoh masa lama.
““Dia sudah biasa dengan keadaannya cuma adakala mengalami kesukaran dalam melakukan tugas harian. Hari ini saya lihat dia begitu teruja menerima ‘tangan baru’ dan berharap ianya boleh membantu serba sedikit aktiviti sehariannya,” katanya selepas acara penyerahan tangan elektronik tersebut di Hub Inovasi dan Multimedia, Meru Raya semalam.
Faaizul Hisham Die merupakan seorang bapa tunggal yang berkidmat sebagai Jurutera Marin di Lumut. Beliau turut membawa bersama anak sulongnya Izz Adeeka, 11 tahun.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Khairul Shahril Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Meor Rezal Fitri Meor Redwan.
Sementara itu Sujana Mohd Rejab berkata sehingga kita beliau telah menghasilkan lebih daripada 60 buah tangan elektronik cetakan 3D. Setiap satu unit menelan kos sebanyak RM5,000 ke RM10,000.
“Apa yang saya lakukan ini, merupakan lebih kepada khidmat sosial. Saya memberi tumpuan kepada kanak-kanak seperti Izaa Adeera. Mereka harus diberi kegembiraan sebab pada peringkat ini mereka masih lagi belum dapat menerima kenyataan takdir sebenar’, katanya yang juga merupakan bekas guru berasal dari Taiping.