IPOH – Penghuni sebuah rumah di Jalan Sembili, Kampung Kucai di sini cemas apabila kediaman mereka terbakar pagi tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.53 pagi berhubung kejadian tersebut.

Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh telah dikejarkan ke lokasi bagi memadam kebakaran.

“Semasa bomba tiba, api sedang marak membakar rumah berkenaan kira-kira 60 peratus bagaimana pun tiada mangsa dilaporkan cedera.

“Anggota telah bertindak memadam api menggunakan satu aliran air hingga kebakaran padam sepenuhnya,” ujar jurucakap tersebut.

Operasi pemadaman turut dibantu jentera dari BBP Pasir Puteh serta bomba sukarela Peka Baru dan Mengglembu.

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1.02 petang.