LUMUT - Mayat lelaki yang terjatuh ke dalam Sungai Dinding dekat Kampung Telaga Emas, Air Tawar di sini malam semalam ditemui terapung kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

Dalam kejadian kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, mangsa, Azrin Hamidun, 30an, dipercayai terjatuh dari bot nelayan ketika menjala ikan di muara sungai.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Air Tawar, PBK I Kamaruzziman Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira pukul 8.25 pagi oleh nelayan yang turut menyertai operasi pencarian.

Katanya, pasukan pencari yang menyambung operasi mencari mangsa pagi tadi telah meluaskan kawasan pencarian.

“Mayat mangsa telah dibawa naik oleh pasukan penyelamat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Gerakan mencari melibatkan kira-kira 23 anggota terdiri daripada bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam serta dua buah bot,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Operasi tamat pada pukul 10 pagi.