IPOH- Projek Cahaya dan Bunyi (Light and Sound) di Ipoh Padang yang memperuntukkan sebanyak RM5 juta akan terus dilaksanakan walaupun mendapat bantahan dari segelintir penduduk bandaraya Ipoh.

Pengerusi Jawatan Kuasa  Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Dato' Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata kerja-kerja menaiktaraf ini sama sekali tidak melibatkan penebangan pokok-pokok atau perubahan kepada struktur asal di Padang Ipoh.

"Kerajaan Negeri sentiasa sensitif dan turut berkongsi aspirasi yang sama dengan penduduk tempatan mengenai kepentingan memelihara nilai-nilai warisan Padang Ipoh yang terletak dalam zon warisan Ipoh.

"Ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri untuk menyemarakkan semula sektor pelancongan di negeri Perak yang turut terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan ramai rakyat yang bergantung hidup kepada aktiviti pelancongan serta kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

“Projek pembangunan Padang Ipoh melibatkan pembinaan layar utama untuk persembahan cahaya dan bunyi (Projection Mapping System), pembinaan bilik kawalan, menaiktaraf tandas awam dan menaiktaraf plaza/astaka serta menambahbaik landskap sedia ada," katanya dalam sidang media di tapak projek naik taraf Padang Ipoh di sini, hari ini.

Turut hadir, DatukBandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Sidang media itu diadakan berikutan bantahan sekumpulan NGO menyerahkan memorandum bantahan projek pembinaaan di padang Ipoh kepada Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Dato' Azumu minggu lalu.

Projek yang dibiayai oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara NCIA turut merangkumi kerja-kerja membaikpulih Ipoh Riverfront yang telah lama terbiar.

Manakala kerja menaiktaraf di Kinta Riverfront yang menelan belanja sebanyak RM6 juta pula melibatkan kerja-kerja penambahbaikan bangunan kedai, penambahbaikan dua unit jambatan besi, kerja menaiktaraf tandas awam dan menaiktaraf laluan pejalan kaki, landskap serta pencahayaan. Kedua-dua projek ini dijangka akan disiapkan menjelang awal Januari 2021.