Taiping- Tiga ekor anak harimau malaya kini menjalani latihan selama dua jam setiap hari bagi membiasakan persekitaran pameran sebelum dibenarkan untuk tontonan awam.

Pengarah Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS), Dr. Kevin Lazarus berkata ketiga-tiga anak harimau tersebut menunjukkan keserasian dan keselesaan berada di tempat pameran.

“Kita mengambil kira kepada reka bentuk kawasan pameran untuk membantu anak-anak harimau ini  belajar menyesuaikan diri seperti persekitaran  yang tidak rata, berbelukar, berkolam serta gua batu.

“Mereka dilepaskan ke pameran terbuka secara berperingkat-peringkat bertujuan meningkatkan keyakinan mereka pada persekitaran baru. Pemantauan terus dibuat sepanjang tempoh latihan sehinggalah kesemua haiwan ini dilepaskan sepenuh semasa zoo beroperasi”, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ketiga-tiga anak harimau itu menjalani latihan dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi setiap hari. Mereka diberi nama Puntum (jantan), Bayu (betina) dan Teja (betina).

Menurut Dr. Kevin, kesemua anak harimau malaya kini menunjukkan keperibadian yang sangat aktif. Mereka gemar bermain bersama- sama antara mereka dan sentiasa mengekori ibunya.  

“Dari segi pemakanan ZTNS  menyediakan makanan seperti daging, ayam dan tulang. Pihak ZTNS akan menyediakan makanan sekitar tiga kilogram bagi seekor anak harimau malaya untuk sekali sehari.

“Kita akan mempamerkan secara tetap apabila kesemua anak harimau ini betul-betul bersedia dengan persekitaran pameran dan akan menguar-uarkan berita kepada umum pada satu tarikh yang sesuai.

end//