Ipoh- Harapan 14 orang pelajar berusia antara 8 hingga 15 tahun untuk kesekolah semula kembali bersinar selepas berpeluang membeli-belah kelengkapan sekolah.

Pengarah Urusan Kumpulan Mimbar Nusantara Home Sdn Bhd, Nazrin Cheong Abdullah berkata, kesemua pelajar yang menerima bantuan itu terdiri daripada kalangan miskin bandar.

“Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) telah mengenalpasti seramai 14 orang pelajar tidak bersekolah disebabkan ketiadaan peralatan persekolahan yang mencukupi.

“Setelah kami melihat laporan kaji selidik yang dibuat oleh Unit Penyelasaran Pembangunan (ICU) negeri Perak terhadap penghuni rumah pangsa projek perumahan rakyat, Seri Kepayang Perak, kita mendapati tahap ekonomi penghuni tersebut sememangnya memerlukan bantuan dengan segara.

“Oleh yang itu LPHP dengan kerjasama Mimbar Nusantara dan Pasaraya Mydin bersetuju menyumbangkan kelengkapan sekolah sepertimana yang diperlukan. Diharapkan bantuan ini dapat meringankan bebanan dari segi keperluan sekolah anak-anak mereka”, katanya pada media selepas program penyerah pakaian sekolah di Pasaraya Mydin, baru-baru ini.

Antara sumbangan itu ialah dua pasang pakaian sekolah, beg sekolah, botol air dan lapan jenis peralatan kegunaan harian.

Seorang penerima bantuan, J. Sri Saravanan Vel, 11, berkata dia terpaksa memahami keadaan keluarga yang dalam kesempitan terutama sewaktu pendemik Covid-19 yang sedang melanda.

“Sumbangan yang saya terima hari ini membolehkan saya kembali ke sekolah. Saya bagi pihak ibu dan bapa saya mengucapkan kepada semua pihak yang bermurah hati menghulurkan bantuan. Sumbangan ini juga meringankan tangungjawab ibu dan bapa saya”, katanya.