Bantu Ibu Berniaga Walau Berkaki Palsu
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 898
BATU GAJAH: Hasrat tidak mahu melihat ibunya meminta pertolongan dari orang lain, remaja berkaki palsu ini gigih membantu ibunya berniaga roti puri.
Wan Arif Firdaus Wan Ahmad Affendy, 16 tahun, pernah menderita kanser tulang merelakan kaki kirinya dipotong kerana tidak sanggup menanggung kesakitan setiap kali pembedahan empat tahun lalu.
Menurut ibunya, Zetty Ferdaus Ramli, 37 tahun, anak sulung dari tiga beradik itu dikesan menghidap kanser tulang tahap empat pada tahun 2012 selepas sering mengadu sakit kaki.
"Dia sendiri yang buat keputusan supaya kakinya dipotong kerana tidak mampu menanggung kesakitan. Besi yang dimasukkan ke dalam kakinya seberat dua kilogram bagi menggantikan tulang yang dijangkiti kanser itu, tidak mampu dibawa sebab berat dan selalu sakit.
"Dalam sebulan dua kali dia perlu membuat pembedahan untuk memanjangkan besi tersebut. Setiap kali selepas keluar bilik pembedahan dia akan menangis kesakitan. Sebab tu Wan Arif bernekad supaya kaki kirinya dipotong," katanya.
Menurut Zetty Ferdaus, walaupun disahkan bebas kanser pada 2018 selepas 14 kali menjalani kemoterapi, anaknya itu masih perlu mendapatkan rawatan susulan setiap enam bulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Suaminya Wan Ahmad Affendy Wan Mohd Yaakob berkerja di bahagian dobi hospital berpendapatan hanya sekadar mampu memampung keperluan keluarga. Mereka terpaksa berikhtiar mencari duit tambahan untuk menampung kos berulang alik ke PPUM di Petaling Jaya.
Memahami akan kepayahan yang ditanggung, Wan Arif kemudian menawarkan diri membantu ibu nya berniaga roti puri bagi menambah sumber pendapatan.
"Sebelum ini emak saya selalu meminjam wang dengan orang lain untuk menampung kos ke hospital. Adalah lebih baik kami berniaga untuk mengelakkan emak saya meminjam dari orang lain.
“Setiap petang, sebaik habis waktu persekolahan bermula pukul 5.30 petang hingga 9 malam, saya akan membantu emak saya berniaga di warung yang terletak di Kampung Sentang, Batu Gajah," katanya.
Menurut Wan Arif, dia terpaksa menghapuskan perasaan malu kerana dia juga ingin mencari duit poket membeli kelengkapan sukan kegemarannya.
Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Toh Indera Wangsa Ahmad ini aktif dalam sukan para dan bercita-cita mewakili negara untuk sukan renang.
Orang ramai yang bersimpati ke atas nasib Wan Arif, bolehlah menghulurkan sumbangan ke Maybank Wan Ahmad Affendy Wan Mohd Yaakob di nombor akaun 1580 1511 4461.