Batu Gajah - Harapan adik Wan Arif Firdaus Wan Ahmad Affendy, 16 tahun, untuk memiliki kaki palsu baharu menjadi kenyataan setelah Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.), tampil menghulurkan bantuan sejumlah RM 12,500.

Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh, berkata sumbangan itu bagi memenuhi impian remaja itu untuk meneruskan cita-citanya menyertai sukan Paralimpik.

“Cek ini akan kami masukkan terus kepada syarikat Bioapps Sdn. Bhd iaitu salah satu syarikat membuat kaki palsu. Kemungkinan dalam tempoh dua minggu adik Wan Arif akan memiliki kaki palsu yang baharu.

“Saya bagi pihak Menteri Besar Perak mengharapkan adik Wan Arif dapat memanfaatkan kaki palsu baharu untuk aktif dalam bidang sukan terutamanya memudahkan pergerakan seharian dengan lebih baik. Semoga apa yang dicita-citakan olehnya tercapai satu hari nanti”, katanya kepada media selepas penyerahan cek kepada Wan Arif Firdaus di rumahnya di Kampung Sentang, Batu Gajah, semalam. 

Hadir sama Ketua Komunikasi Korporat Strategik MB Inc., Siti Kamesah Bee Md Hashim.

Berita tentang adik Wan Arif Firdaus telah tertular di laman media sosial selepas beberapa portal menyiarkan kisah kehidupannya yang terpaksa membantu ibunya berniaga roti puri. 

Kegembiraan dan harapan baru jelas terbayang di wajah adik Wan Arif Firdaus setelah menerima cek sumbangan tersebut. Dia berkata selama ini dia tidak menduga akan memiliki kaki palsu baharu kerana menyedari kepayahan ibu bapanya mencari wang untuk menampung perubatan bulanannya. 

“Saya begitu berbesar hati dan gembira kerana pihak MB Inc. kerana menghulurkan bantuan untuk tempahan kaki palsu baharu saya nanti. Saya mengucapkan ribuan terima kasih.

“Saya meminati sukan renang dan berharap saya akan dapat mewakili negeri Perak suatu hari nanti. Saya akan pastikan impian saya untuk menyertai sukan paralimpik akan menjadi kenyataan dan dapat merubah nasib keluarga saya”, ujarnya dengan senyuman yang penuh harapan.