Malim Nawar- Seramai 27 orang penduduk Kampung Pulau Pisang disahkan negetif Covid-19 setelah menjalani saringan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Dewan Rimba Riang, Pulau Pisang, disini, hari ini. 

Pengerusi Masjid Addin , kampung Pulau Pisang, Jaslee Harun berkata keputusan saringan itu melegakan semua pihak terutamanya penduduk kampung ada diantaranya diarahkan oleh majikan mereka supaya tidak hadir berkerja kerana dibimbangi dijangkiti virus Covid -19 ekoran penyebaran berita seorang kariah masjid positif Covid-19 kelmarin.

“Selain dari 27 orang penduduk kampung, seramai enam orang kakitangan gerai makanan dari Kuala Dipang dan seorang dari Kampar turut menjalani saringan hari ini. Keputusan mereka juga disahkan negetif. 

“Keputusan saringan ini sekaligus melegakan semua pihak dan mereka boleh menjalani kehidupan seperti biasa namun diharapkan mereka sentiasa mengamalkan norma baharu dalam aspek seharian. 

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) TualangSekah, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang sentiasa memantau perkembangan penduduk kampung ini. Begitu juga barisan hadapan KKM dan Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah (PPAID) yang telah melaksanakan amanah dengan baik”, katanya kepada Peraktastic sewaktu dihubungi sebentar tadi. 

Timbalan Pengerusi Masjid Addin, Mustapa Pandak, 68, turut melahirkan rasa kesyukuran diatas keputusan saringan itu dan ini telah menamatkan pelbagai anggapan negetif masyarakat terhadap penduduk kampung ini. 

“Kita sentiasa mengingatkan semua penduduk kampung agar sentiasa mengamalkan norma baru terutamanya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam mengekang penularan wabak ini. 

“Alhamdulillah masjid kampung ini akan beroperasi seperti biasa esok namun kami sebagai Ahli Jawatan Kuasa Masjid Addin akan sentiasa memastikan semua arahan yang dikeluarkan oleh PPAID dipatuhi mengikut SOP yang ditetapkan.