Petaling Jaya- PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup lorong kecemasan dan lorong kiri antara Bidor ke Tapah selama lima hari untuk kerja penyelenggaraan jalan. 

Melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, penutupan tersebut untuk membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan dilaksanakan dengan lancar di KM330.05 hingga KM328.95 (Arah Utara) di Lebuhraya Utara-Selatan.

Penutupan melibatkan semua jenis kenderaan itu akan bermula jam 9:00 pagi, 18 Januari (Isnin) sehingga Jumaat, 22 Januari 2021 jam 12:30 tengah hari. 

Walau bagaimanapun, lorong kanan di KM330.05 hingga KM328.95 (Arah Utara) masih boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Pelanggan yang menghala ke utara dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini melalui paparan CCTV yang disediakan.

Mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papantanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh kakitangan PLUS ketika melalui kawasan terbabit.

Pelanggan lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.