DKP berjaya bantu karya seni ke peringkat antarabangsa
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 929
IPOH- Dana Kreatif Perak (DKP) ternyata membuahkan hasil dalam mendokong pengkaryaan seni anak Perak sehingga diiktirafkan ke peringkat antarabangsa.
Ahli Lembaga Pengarah Koloni Karyawan Aman Jaya (PORT), Dato’ Zainol Fadzi Paharudin berkata kerajaan negeri menyifatkan kejayaan yang diraih oleh pengkarya seni melalui DKP satu pencapaian mengkagumkan dan membanggakan.
“DKP telah membantu mengenengahkan golongan seni ber di mana bakat-bakat mereka selama ini terbiar dan tidak diketengahkan melalui platform yang betul.
“Melalui pencapaian DKP 2019, kejayaan Lim Han Loong yang dinobatkan sebagai ‘Grand Winner’bagi anugerah Malaysia Movie Makers Awards 2020 melalui filem Family Dinner telah menaikkan negeri Perak ke peringkat nasional mahupun antarabangsa.
“Begitu juga pengiktirafan ‘Highest Commendation’ oleh Asia South East, Short File Festival (Winter 2021) yang diberi kepada Ahmad Iwaz Hamdy melalui karya bertajuk ‘SELAMA’ menunjukkan bakat anak Perak telah diperakui bersama seni yang tinggi dan setaraf”, katanya kepada media selepas acara penyampaian DKP2020 yang berlansung di PORT, disini, semalam.
Seramai 41 orang penerima terdiri dari tiga kategori iaitu seni visual, seni persembahan dan seni muzik dipilih menerima DKP2020 bagi edisi kedua kali ini. Namun diatas kekangan semasa pandemik Covid-19 seramai sepuluh orang dijemput sebagai penerima awal DKP2020 dan selebihnya akan dihubungi kemudian.
Sebelum itu pada edisi pertama DKP2019 seramai 24 orang telah dipilih menerima DKP. Melalui pencapaian DKP2019 PORT telah disenaraikan dalam penerbitan ‘Visual Art Map’ oleh The Cultural Economy Development Agency (CENDANA) sebagai Agensi Kerajaan yang menyokong seni visual melalaui perbadanan.
Sementara itu, Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin berkata, skim bantuan seni sistematik dari kerajaan negeri ini memberi keutamaan kepada para pengkarya dan golongan pengusaha bidang kreatif kelahiran Perak.
“Kita memberi penekanan kepada kombinasi elemen tradisional dan moden kontemporari ataupun elemen rentas disiplin antara lebih daripada dua bidang contohnya sastera dan muzik serta tarian dan seni lukis.
“DKP telah dilancarkan pada 2019 dengan dana daripada Pejabat Menteri Besar sebanyak RM100,000. Proses penilaian dilakukan melalui proposal dan diadili oleh tiga panel profesional sebelum disahkan sebagai penerima DKP2020”, ujarnya.
Mohamad Ramdan Misnon, 32, Jurulatih Teater Pertubuhan Seni Kayangan Perak berkata sumbangan DKP2020 ini, sememangnya membantu penggiat seni dalam memperkembangkan bakat dalam pelbagai cabang seni.
“Dana ini akan digunakan untuk menjalankan bengkel teater dan persembahan pentas yang melibatkan penyertaan dikalangan belia-belia. Melalui bengkel ini kita dapat mencungkil bakat-bakat baru dan secara tidak langsung mampu memeriahkan kembali aktiviti teater di negeri Perak”, ujarnya yang menerima DKP sebanyak RM5,000.