IPOH: Seramai 813 penyewa gerai di Pasar Besar Ipoh akan menerima pengecualian sewa gerai selama tiga bulan mulai Mac hingga Mei 2021 dengan jumlah bantuan sebanyak RM69,000.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin berkata Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut prihatin terhadap peniaga-peniaga kecil yang masih meneruskan perniagaan di Pasar Besar Ipoh yang memerlukan bantuan bagi meneruskan perniagaan mereka.

“Bantuan pengecualian sewa gerai selama tiga bulan ini pasti menceriakan para peniaga dan seterusnya dapat meringankan bebanan kewangan yang dihadapi.

“ Disamping itu MBI juga akan menawarkan pengurangan kompaun lalu lintas secara automatik melalui dua kaedah saluran bayaran iaitu pembayaran kompaun lalu lintas di kaunter bayaran akan menerima pengurangan sebanyak 30% mulai 1 Mac 2020 sehingga 30 September 2021.

“Pembayan secara atas talian juga akan menikmati pengurangan sehingga 50% mulai 1 Mac 2021 hingga hujung tahun ini, bagi menggalakkan pembudayaan kehidupan norma baharu.

“MBI berharap semua bentuk inisiatif baru tersebut dapat memberi nafas kelegaan kepada pelbagai lapisan masyarakat melangkaui sempadan kaum dan agama khususnya warga kota Ipoh”, katanya dalam teks pembentangan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Februari, di Dewan Mesyuarat MBI, di sini, hari ini.