MANJUNG - Unit Landskap dan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung telah menjalankan aktiviti sanitasi di lokasi-lokasi tumpuan pelancong baru-baru ini.

Antara lokasi yang terlibat ialah kawasan Pantai Teluk Batik, Taman Paya Bakau Bandar Lumut, Jeti Penumpang Pulau Pangkor, Teluk Bahru, Pantai Pasir Bogak, Pekan Pulau Pangkor, Kota Belanda, wakaf di sekitar Pulau Pangkor, Jeti Lumut dan taman-taman awam.

MPM dalam satu kenyataan memberitahu, langkah ini adalah sebagai salah satu inisiatif yang diambil bagi menerima kedatangan pelancong memandangkan kawasan-kawasan pelancongan di daerah Manjung telah mula dikunjungi.

Menurut kenyataan tersebut, kerja-kerja sanitasi untuk memastikan kawasan-kawasan pelancongan ini bersih dan selamat untuk dikunjungi serta mengurangkan risiko penyebaran wabak Covid- 19.

“Pada masa sama, MPM juga ingin mengingatkan orang ramai supaya tetap menjaga kebersihan kendiri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pada setiap masa.

“Hendaklah sentiasa memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan serta menjaga penjarakan fizikal,” ujar kenyataan tersebut.

Justeru, kerjasama masyarakat untuk kekal bertanggungjawab menjaga keselamatan diri dan keluarga ketika berkunjung ke tempat-tempat awam penting bagi mengelakkan penyebaran wabak Covid-19.