IPOH - Kebenaran untuk membuka bazar Ramadan pada tahun ini benar-benar memberi kelegaan kepada golongan peniaga yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19.

Malah, mereka juga bersetuju dengan ketetapan kerajaan untuk mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dan tersusun demi kebaikan orang ramai.

Peniaga lauk-pauk, Siti Fatimah Syed Aziz, 41, berkata, keputusan kerajaan membenarkan mereka berniaga semula amat membantu tambahan pula pada tahun lalu ramai yang terjejas pendapatan apabila bazar Ramadan tidak dibenarkan.

Katanya, dia serta rakan-rakan penjaja kecil lain sangat bersyukur apabila kerajaan membuat pertimbanan tersebut kerana pendapatan mereka banyak bergantung kepada jualan bazar Ramadan.

"Jika tidak dapat berniaga agak terkesan jugalah seperti tahun lalu apabila berbulan-bulan tiada pendapatan," katanya yang berniaga di bazar Ramadan Stadium Ipoh.

Bagi peniaga nasi berlauk di bazar Ramadan Meru Raya, Muhammad Syarifudin Rafar, 33, pula berkata, berikutan pengumuman tersebut dia kini boleh membuat persiapan berniaga.

"Memang sejak PKP dilaksanakan saya hanya berniaga dengan mengambil tempahan secara kecil-kecilan sahaja untuk menampung kehidupan dan adakalanya membantu rakan berniaga di tempat lain.

“Ini merupakan berita baik bagi penjaja kecil seperti saya dan berharap dapat berniaga di mana-mana lot bazar Ramadan di sekitar Meru atau Chemor," katanya.

Peniaga pakaian, Muhammad Arief Azizan, 29, berkata, dengan adanya bazar Ramadan dapat membuka peluang peniaga kecil berniaga secara bersemuka apabila terpaksa menjalankan perniagaan dalam talian.

"Walaupun pendapatannya ada tetapi berbeza apabila dapat berniaga secara bersemuka ialah pelanggan mudah datang ke gerai untuk melihat pakaian dan terus membeli.

"Dengan kebenaran kerajaan itu, saya lega walaupun perlu mematuhi SOP ketat. Seperti peniaga lain, saya dan rakan-rakan peniaga akan patuh,” ujarnya.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin tidak menolak kemungkinan bazar Ramadan dibenarkan tahun ini melihatkan hampir kesemua aktiviti ekonomi sudah dibenarkan beroperasi.
Beliau berkata, bagaimanapun perkara itu akan dibawa ke perbincangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya perlaksanaannya kelak lebih kemas dan efisyen dalam pematuhan kepada SOP mengekang wabak Covid-19.