IPOH – Kepentingan penyampaian informasi menerusi saluran radio dan televisyen turut digunakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) lantas menunjukkan medium penyiaran itu masih lagi efektif selain mempunyai pendengar.

Buktinya, saluran Radio TV MBI atau Radio TV Bandaraya Ipoh yang boleh diakses menerusi saluran Facebook mempunyai kira-kira 150,000 pelayar termasuk dalam kalangan anak-anak Ipoh yang berada di perantaun untuk mengetahui maklumat-maklumat semasa tentang bandaraya tercinta ini.

Sesuai dengan objektif penubuhan Radio TV MBI, ia bukanlah untuk bersaing dengan rangkaian stesen komersial sedia ada tetapi menjadi saluran khusus untuk menyebar luas pelbagai maklumat semasa kepada sasarannya iaitu warga kota Ipoh.

Sudah pasti maklumat dan pengisian programnya juga adalah lebih khusus serta menfokus pada kehendak pendengar setempat.

Radio TV MBI yang mula ke udara pada 1 Jun 2016 adalah buah fikiran kepimpinan MBI pada masa itu sekali gus menunjukkan langkah ke hadapan pihak pengurusan bandaraya agar tiada maklumat atau program-program yang mempunyai kepentingan pada rakyat tidak dijelaskan.

Malah, perlu dibanggakan warga Ipoh apabila MBI merupakan satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini yang mengendalikan sebuah saluran radio dengan cara beropersi sama sepertimana stesen komersial.

Pada masa ini, Radio TV MBI dikendalikan oleh enam orang kakitangan pelbagai jabatan yang turut bertindak selaku penyampai dan penerbit dengan dibantu seorang penyelia selaku pengurus stesen.

Apa yang menarik, para penyampai ini bukanlah ‘DJ’ sepenuh masa sebaliknya mereka juga merupakan kakitangan MBI meliputi petugas di bahagian pentadbiran, inspektor kesihatan dan bahagian korporat tetapi mempunyai kemahiran serta bakat sebagai penyampai.

Selain boleh diakses menerusi Facebook, siaran Radio TV MBI juga menjadi siaran utama di Bangunan MBI untuk didengari kakitangan dan juga orang ramai yang berurusan.

Ia bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang menerusi pelbagai segmen yang telah disusun dengan tiga orang penyampai akan bertugas mengikut giliran.

Antara segmennya ialah Santai Sembang, Motivasi Pagi, Segmen Bersama Usahawan dan Tetamu Jemputan.

Bukanlah radio sekiranya tiada putaran lagu-lagu sebagai halwa telinga, jadi bagi Radio TV MBI pula, dendangan lagu pastinya adalah mengikut citarasa pendengar seperti lagu irama 60an, Hindustan, lagu retro serta irama terkini artis-artis popular semasa.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, Radio TV MBI akan sentiasa ditambah baik menerusi pengisian program-program yang bersesuaian dengan matlamat sebagai saluran penyampai buat warga kota Ipoh.

Menrut beliau, ini kerana penubuhan saluran yang dapat didengar secara atas talian itu antara usaha dirancang kepimpinan MBI terdahulu yang pastinya telah membayangkan keperluan semasa untuk menyalurkan informasi kepada masyarakat.

“Kelahiran Radio TV MBI sebenarya secara tidak langsung ‘memeriahkan’ lagi industri penyiaran tanah air khususnya saluran PBT yang pada ketika ini belum ada banyak lagi stesen seumpamanya.

“Juga bukan atas dasar ingin bersaing, sebaliknya Radio TV MBI akan kekal fokus untuk menjadi saluran penyampai dan penghubung antara MBI dengan masyarakat warga kota Ipoh,” ujarnya.