IPOH-Telefilem 18 Puasa Di Kampung Pisang adalah buah tangan istimewa daripada pengarah filem dan penulis lakon layar tanah air tersohor, Mamat Khalid sempena Ramadan, akan ditayangkan di Astro First pada 15 April ini.

Setiap sentuhan karya Mamat Khalid, pasti membawa mesej sinis yang ingin disampaikan secara komedi melalui loghat Perak. Kali ini, lokasi penggambarannya bertempat di Kampung Karai, Kuala Kangsar.

“Untuk telefilem 18 Puasa Di Kampung Pisang yang telah masuk tahun ke empat ini, pastinya lebih santai dan menghiburkan dengan mengekalkan watak-watak komedi sebelum ini.

“Namun kali ini abang mengetengahkan Datuk Ustaz Kazim Elias, Namron dan Jaafar Onn. Kehadiran Namron dan Jaafar Onn memegang watak iblis sememangnya menambah lagi ‘humor’ pada drama ini," katanya ketika ditemui Peraktastic di Koloni Karyawan Aman Jaya (PORT), baru-baru ini.

Mamat Khalid juga memberitahu sempena hari raya sebuah lagi drama komedi juga akan ditayangkan iaitu Kampung Pisang Raya Special. Ini juga merupakan hadiah darinya diatas sokongan peminat hasil karyanya.

“Abang juga akan meneruskan penggambaran drama Kampung Pisang Bersiri-Siri untuk musim seterusnya yang berkemungkinan pada Julai dan Ogos tahun ini memandangkan pelbagai pihak memberikan sokongan untuk abang meneruskan drama tersebut," katanya.