IPOH – Ramadan memberi ruang kepada banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengambil inisiatif melakukan kerja amal bagi membantu golongan yang memerlukan.

Tahun ini, butik pakaian Gondola31 yang terletak di Bandar Meru Raya di sini mengambil inisiatif untuk menyantuni golongan kurang bernasib baik pada satu program amal dengan kolaboratif Koperasi Usahawan Bersatu Ipoh Perak Berhad (KoPUBI), Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak (Pubi) dan syarikat kurier J&T Express Malaysia.

Semalam, seramai 57 anak-anak penghuni Yayasan Amanah An-Nur Maisarah Chemor yang terdiri daripada anak yatim dan fakir miskin diraikan apabila menerima sumbangan bagi menceriakan mereka menjelang ketibaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengasas Butik Gondola31, Nizam Baharudin berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dijayakan atas usaha untuk mewujudkan rasa kegembiraan kepada para anak-anak penghuni Yayasan Amanah An-Nur Maisarah Chemor.

Menurut beliau, kolaboratif yang julung-julung kali diadakan itu sangat bermakna dan mencapai matlamatnya selain dapat dijayakan dengan lancar sepertimana dirancang.

“Butik Gondola31 bersama vendornya menghulurkan bantuan berupa pakaian raya kepada 57 orang pelajar selain sumbangan duit raya.

“Pihak KoPUBI dan Pubi pula menghulurkan bantuan iaitu pek juadah berbuka puasa iaitu nasi Arab, air, duit raya serta sumbangan tunai.

“Manakala J&T Express menyediakan sumbangan keperluan asas serta pengangkutan untuk membawa semua barang-barang dari butik Gondola31 ke rumah anak yatim ini,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Pada majlis yang berlangsung pada pukul 3.30 petang itu, semua sumbangan telah disampaikan kepada Eksekutif Pentadbiran Yayasan Amanah An-Nur Maisarah, Nurul Hanis Izzati Aznan.

Hadir sama ialah Pengerusi KoPUBI dan Pubi, Sharul Baha Abd Rahman dan Pegawai Perhubungan Awam J&T Express Perak, Raja Tawfeeq.

Bagaimanapun disebabkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang wabak Covid-19, maka penyerahan sumbangan dilakukan dalam keadaan kawalan kendiri sepertimana pematuhan yang ditetapkan.