IPOH – Sebanyak 1,000 unit tong sampah telah diagihkan pada majlis Penyerahan Tong Sampah Secara Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh LTC Alam Bersih Sdn. Bhd. (LTC Alam Bersih) di Desa Pakatan di sini pagi tadi.

Agihan tong sampah ini sempena Program Membudayakan Amalan Penggunaan Tong Sampah yang disempurnakan oleh Ahli Majlis MBI Zon 21, Kaunselor Abu Bakar Hussian mewakili Datuk Bandar Ipoh.

Semasa berucap pada majlis tersebut beliau memberitahu, amalan penggunaan tong sampah perlu dijadikan budaya dalam kalangan warga bandar ini demi meningkatkan kualiti persekitaran sepertimana matlamat yang disasarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Katanya, budaya menggantung sampah pada dahan pokok dan pagar perlulah dielakkan kerana ia memburukkan pandangan selain melambatkan serta menyukarkan kerja-kerja pungutan sampah yang memerlukan ketepatan masa.

"Penyediaan infrastruktur kebersihan oleh pihak berkuasa tempatan semata-mata tidak memadai sekiranya penduduk tidak dilibatkan sama dalam soal pengurusan sampah yang bermula dari rumah.

“Selain pihak MBI, masyarakat perlu dididik kearah membudayaan penjagaan alam sekitar. Saya berhasrat untuk menjadikan Zon 21 sebagai zon contoh serta mewujudkan tanggungjawan bersama dalam menjaga alam sekitar.

“Menerusi program ini penduduk diharap dapat menjadikan amalan menjaga kebersihan sebagai satu budaya seawal dari rumah lagi seterusnya melahirkan masyarakat yang menghargai dan mengutamakan keindahan persekitaran,” ujarnya.

Setiap satu tong sampah ini bernilai RM70 sumbangan LTC Alam Bersih.

Sebelum ini sebanyak 1,120 unit tong sampah telah diagihkan oleh MBI di Bandar Baru Putra pada 3 April lalu.

Manakala baki kira-kira 5,700 unit tong sampah lagi akan diagihkan secara berperingkat-peringkat di taman-taman perumahan lain.

Kata Abu Bakar, tong-tong sampah ini perlulah diletakkan di hadapan rumah mengikut jadual kutipan sampah yang telah ditetapakn manakala sampah pula perlu dimasukkan ke dalam beg plastik yang sesuai untuk dikutip dan dilupuskan.

"Sokongan semua penduduk untuk sama-sama membudayakan penggunaan tong sampah seterusnya memudahkan proses pelupusan sisa kediaman," ujarnya.

Sementara itu, Pengurus LTC Alam Bersih, Lee Chun Cen berkata, agihan tong sampah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha CSR syarikat bagi membantu penduduk setepat memilik tong sampah bagi kegunaan harian.

Katanya, penggunaan tong sampah akan memudahkan petugas-petugas pembersihan untuk melakukan kutipan selain tidak menyebabkan sampah keciciran.

Bagi penduduk, Noralina Hazali, katanya agihan tong sampah itu sangat baik apabila dapat memudahkan penduduk untuk membuang sampah secara teratur.

Beliau yang tinggal di Laluan 2 Desa Pakatan berkata, sebelum ini dia tidak mempunyai tong sampah tetapi menggunakan bakul plastik biasa untuk mengisi sampah.

Perasaan gembira juga dikongsi Tham Ly Ly yang memuji usaha MBI dan pihak LTC Alam Bersih membudayakan penggunaan tong sampah.