Ipoh- Media massa antara bentuk kemajuan teknologi informasi dan komunikasi yang bertindak sebagai penyumbang besar kepada pembangunan negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Dato' Dr. Mah Hang Soon berkata para pengamal media merupakan satu pasukan yang sentiasa bekerjasama dalam membantu menyebarkan maklumat kepada masyarakat.

"Perkembangan pantas dalam teknologi komukasi dan maklumat di era globalisasi mempengaruhi pelbagai dimensi yang disampaikan secara talian atau cetakan.

“Walaupun bentuk komunikasi sekarang lebih dipengaruhi secara digital namun penyampaian berita dalam bentuk cetakan masih lagi mampu mendahului dan memberi kesan yang besar.

“Saya terhutang budi kepada semua pengamal-pengamal media di negeri Perak khususnya yang telah banyak membantu dalam menyebaran maklumat dengan pantas dan tepat. Saya berharap kerjasama erat ini akan berterusan walaupun sekarang telah wujud saingan diantara media sosial dalam pelbagai bentuk, “ katanya sewaktu berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media, di Ipoh C Kitchen, di sini, petang tadi.

Hadir sama Pengarah Penerangan Negeri Perak, Mohd Taib Ubah.

Seramai 80 orang pengamal media Perak dari pelbagai agensi media cetak dan elektronik hadir pada majlis tersebut.

Mah Han Soon turut menyampaikan sumbangan hari raya kepada semua pengamal media yang hadir sebagai tanda penghargaan di atas kerjasama yang diberi selama ini.

End//