IPOH - Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berterusan sehingga menjejaskan ekonomi pelbagai sektor namun Taman Tema Lost World Of Tambun (LWOT) dan Lost World Hotel masih mampu bertahan serta terus menjalankan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat.

Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata krisis pendemik Covid-19 yang sedang diperangi sekarang, setakat ini tidak memberi kesan serius kepada pengurusan syarikat.

“Kita mempunyai seramai kira-kira 350 pekerja di LWOT dan pihak pengurusan masih lagi memastikan kesemua pekerja menerima gaji bulanan seperti biasa.

“Walaupun LWOT masih tidak dibuka kepada umum namun kerja-kerja yang melibatkan pengurusan zoo dan landskap di atas tanah berkeluasan kira-kira 40 ekar itu masih berjalan seperti biasa”, katanya.

Menurutnya, kekukuhan pengurusan Sunway dan LWOT sehingga kini  terjamin kerana sokongan kuat daripada Sunway Berhad.

“Apa yang Sunway pernah lalui seperti masalah kewangan sebelum ini menjadikan pengajaran berguna kepada Sunway, terutamanya sewaktu dunia sedang memerangi penularan wabak Covid-19.

“Pada masa kini kita sedang mengkaji bagaimana untuk mengoperasikan taman tema ini kembali selepas PKPB, sekiranya dibenarkan beroperasi semula. Kita mengambil pengajaran dan mengkaji bagaimana perlaksanaannya di taman tema di luar negara.

“Selain dari menepati Standard Operasi Prosedur (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, kita akan memastikan suasana riang ria dalam taman tema masih diutamakan. Kita juga mengadakan sesi latihan ‘role play’ kepada kesemua kakitangan untuk memahami bagaimana mengoperasikan kembali taman tema dalam norma baharu kelak,” katanya.

Sementara itu Nurul Nuzairi penyerahan sumbangan 100 bungkusan makanan kepada gelandangan, sukarelawan dan petugas media di Pusat Penempatan Gelandangan di Arena Badminton. Hadir sama, Pegawai Daerah Kinta, Halizah Sipun.

Acara itu diadakan bersempena dengan kempen ‘’#SunwayforGood Raya Cheer’’ yang diadakan di seluruh negara.

Penyerahan sumbangan makanan itu dilakukan pada sesi bersahur dan berbuka kepada yang beragama Islam sementara yang bukan beragama Islam menerima sumbangan makanan pada lima sesi bermula pagi sehingga malam.

“Kita di Sunway berharap dapat membantu golongan yang memerlukan di Malaysia dan di Perak kita sudah mempunyai sekitar tiga program yang berlangsung sepanjang PKP ini.

“Program pertama ialah sumbangan makanan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Choh Ulu Kinta, kedua sumbangan makanan kepada masyarakat di Kampung Talang Kuala Kangsar dan ini merupakan program ketiga.

“Kita juga akan mengadakan beberapa program susulan selepas ini sepanjang bulan Ramadan dan Syawal yang akan datang,” ujarnya.