IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah melaksanakan lebih 15 projek di bawah program MBI Prihatin dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membelanjakan lebih RM50,000 bagi membantu golongan memerlukan terutamanya mereka yang dikategorikan sebagai miskin bandar.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, setakat ini bagi program MBI Prihatin sahaja, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu telah membelanjakan lebih RM15,000.

Menurutnya, projek bantuan ini dijalankan secara berterusan sepertimana yang dilaksanakan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertujuan untuk meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik.

“Sebagai dasar baharu kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, kita (MBI) melaksanakan smart partnership (perkongsian bijak) dengan Econsave, Speedmart dan beberapa syarikat lain.

“Jadi matlamat kita yang itu (perkongsian bijak), kalau boleh kita dapat mengurangkan beban masyarakat khususnya mereka yang tinggal di dalam bandaraya Ipoh,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi berkata, MBI bukan sahaja menyalurkan bantuan secara terus kepada kumpulan sasar tetapi juga kemudahan-kemudahan infrastruktur lain, dengan kerjasama pihak swasta.

“Kita bukan sekadar beri bantuan secara terus namun kita turut memohon untuk bantuan infrastruktur.

“Misalnya ada sesetengah kawasan, kita bangunkan jalan, longkang, rumah dan bermacam-macam lagi, yang nilai keseluruhannya bantuan itu berjuta di bawah projek perkongsian bijak,” jelasnya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan Aidilfitri berbentuk barangan keperluan harian tajaan Pasar Raya Econsave Jelapang bernilai RM2,000 dan sumbangan duit raya oleh MBI di Pertubuhan Pusat Jagaan Anak-anak Yatim Al-Harraz di bawah program MBI Prihatin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman, kakitangan pasar raya berkenaan dan Pengurus rumah kebajikan tersebut, Norizan Razali.