IPOH – Aidilfitri yang bakal tiba boleh disambut dalam keadaan lebih baik oleh wira-wira di Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) Kem Syed Putra di sini apabila struktur Surau Ar-Rahmaniah di kem itu yang rosak sebelum ini telah siap dibaiki demi keselesaan kariah.

Kos kerja-kerja membaiki struktur yang rosak itu disumbangkan oleh Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu susulan kunjungan beliau semasa mengedarkan bubur lambuk pada Jumaat lepas.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia dalam hantaran menerusi laman Facebook telah memuatnaik berkenaan lawatan di Kem Syed Putra dan tekad untuk membaiki sebaik mengetahui ada bahagian surau itu yang rosak.

“Alhamdulillah, kerja-kerja senggaraan mula dijalankan pada 4 Mei (Selasa) dan siap pada hari yang sama, siap sepenuhnya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam selenggaraan kerana mampamerkan kualiti kerja yang baik dan memuaskan, cepat, pantas serta memberi komitmen tinggi kepada keselesaan anggota kita.

“Semoga anggota kita selesa dalam mengerjakan ibadah mereka di surau tersebut lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia. Mereka berhak mendapatkan yang terbaik,” ujar Ahmad Faizal dalam Facebooknya itu.

Difahamkan kos senggaran itu yang disumbangkan Ahmad Faizal adalah kira-kira RM20,000.