IPOH – Hanya beberapa jam sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa malam tadi, sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Prihatin Masyarakat Perak (Ukhuwah) telah menyantuni 17 orang gelandangan penghuni pusat kebajikan Anjung Singgah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Perak di sini.

Pengerusinya, Norhaslinda Zakaria berkata, misi kebajikan itu sebenarnya telah dirancang pada satu tarikh lain tetapi terpaksa dilakukan pada saat akhir berikutan tiada aktiviti sosial dibenarkan apabila arahan PKP bermula hari ini.

“Kami menyantuni 17 penghuni Anjung Singgah termasuk bayi berumur sebulan dan pada masa sama mendengar kisah-kisah mereka yang berhadapan dengan pelbagai ujian dan berharap agar mereka sentiasa tabah.

“Sumbangan yang disampaikan adalah telekung, kain pelekat, sejadah, surah Yasin, kerongsang, lampin pakai buang bayi, susu, tuala, barang-barang makanan dan duit raya agar mereka dapat juga meraikan Aidilfitri,” ujarnya.

Misi bantuan ini melibatkan kira-kira 20 orang sukarelawan manakala sumbangan pula adalah infaq daripada beberapa pihak antaranya Kinta Esports, Sholekhin Pixtor, Manjoy Gadjet Esport, Naem Soppian dan Fuse Esports Studio.

Turut menyumbang ialah beberapa individu iaitu Fared Baharum, Norkamariah Kamarudin, Yusoff Faiz dan Amirrol Aizaat.

Kata Norhaslinda, pihak Ukhuwah juga berterima kasih kepada YKN kerana memberi keizinan untuk menyantuni penghuni di pusat kebajikan tersebut.

“Seterusnya sukarelawan Ukhuwah turut menyampaikan sumbangan pek makanan dan minuman kepada gelandangan pelbagai keturunan di beberapa lokasi tumpuan golongan tersebut di bandar Ipoh.

“Misi kebajikan Ukhuwah tetap diteruskan selepas ini walaupun kita berhadapan dengan PKP di beberapa daerah di Perak, cuma pihak kami akan menyelaraskan penyampaian sumbangan atau bantuan dengan pihak berkuasa mengikut sepertimana pematuhan yang ditetapkan,” ujarnya.