IPOH - Penderitaan Darren Aiman Abdullah yang duduk terlantar selepas diserang strok kira-kira dua tahun lalu mendapat perhatian Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak (KSKMP), Mimbar Nusantara Homes Sdn Bhd (Mimbar Nusantara), pasar raya Econsave Jelapang dan bekas Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim.

Isterinya, Netti Yuspita Abdul Rahman, 39, berkata, sebelum diserang strok, suaminya bekerja sebagai penunda kereta dan menjadi tonggak keluarga.

Menurutnya, mereka sekeluarga menetap di Johor Bahru dan suaminya sering berulang alik ke Singapura kerana bekerja di negara jiran tersebut.

“Bagaimanapun, pada Ogos 2019, suami saya tiba-tiba pengsan secara mengejut dan pemeriksaan di hospital mendapati berlaku pendarahan otak sehingga mengakibatkan strok pada sebelah kanan badannya.

“Selepas insiden itu, saya, suami dan anak perempuan kami pulang ke Ipoh pada penghujung bulan Disember tahun yang sama dan duduk menumpang di rumah keluarga mentua,” katanya kepada Peraktastic di Taman Permai di sini, baru-baru ini.

Katanya, akibat peristiwa itu, mereka sekeluarga hilang punca pendapatan dan dia tidak dapat bekerja kerana perlu menguruskan suaminya sepenuh masa.

“Disebabkan pergerakan suami agak terbatas, saya tidak dapat bekerja kerana perlu membantu suami untuk mengurus segala aktiviti hariannya,” jelasnya.

Netti berkata, suaminya kini mendapat rawatan susulan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) serta melakukan fisioterapi dari semasa ke semasa untuk pemulihan.

“Alhamdulillah, kini suami boleh bergerak sedikit dan boleh makan kanji selepas menjalani rawatan di HRPB,” katanya sudah berumahtangga bersama Darren selama 15 tahun.

Dia memaklumkan, setiap bulan suaminya menerima pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.

“Kami bersyukur dengan bantuan tersebut kami gunakan setiap bulan untuk menampung perbelanjaan harian dan persekolahan anak.

“Saya amat teruja kerana pertama kali menerima sumbangan Aidilfitri dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu kami sekeluarga pada hari ini,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mimbar Nusantara, Nazrin Cheong Abdullah berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama bekerjasama dengan KSKMP untuk menghulurkan bantuan Aidilfitri kepada keluarga asnaf dan mualaf di sekitar Ipoh.

“Alhamdulillah, kami dapat bertemu dengan keluarga-keluarga tersebut dan menyampaikan barangan makanan asas serta duit raya kepada mereka termasuk anak-anak mereka.

“Saya berharap pemberian kecil ini dapat menceriakan sambutan Aidilfitri yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.

“Selain itu, saya juga berharap kita semua dapat mematuhi arahan dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan baik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung di seluruh negara,” ujarnya.

Terdahulu, Nazrin bersama-sama Presiden KSKMP, Rosli Mansor Ahmad Razali turun padang ke 10 buah rumah keluarga asnaf dan mualaf bagi menyampaikan sumbangan hamper, kotak makanan asas dan duit raya di sekitar bandaraya Ipoh.