IPOH- Koloni Karyawan Aman Jaya (PORT) tampil mempertabatkan kartunis negeri Perak menerusi penerbitan naskah Direktori Kartunis Perak (DKP) yang dilancarkan baru-baru ini.

Ahli Lembaga Pengarah PORT, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata penerbitan DKP bukan sahaja memperkenalkan seniman kartunis negeri Perak malah memuatkan karya-karya kreatif serta menghiburkan.

“Usaha PORT mendokumentasikan pengkarya seni kartun ini bersesuaian dengan keadaan semasa iaitu pancaroba pandemik Covid-19 yang tidak membenarkan sebarang penganjuran festival atau program bagi mengekang penularan wabak merbahaya ini.

“PORT juga berjaya mengiktiraf dan mengangkat martabat kartunis yang selama ini sering dianggap satu kelompok komuniti kecil dan tersisih, namun sebaliknya mereka telah banyak menabur bakti kepada dunia kartun dan komik tanah air malah ada yang pernah mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa,” katanya yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak.

DKP setebal 144 muka surat ini menghimpunkan 65 orang kartunis kelahiran tempatan termasuk yang bermastautin di negeri Perak.

Antara nama-nama besar yang menghiasi naskah ini adalah Datuk Dr Mohd Nor Khalid (Lat), Mohd Desa Omar (Juragan), Mohd Tazidi Yusof (Tazidi) dan Mior Shariman Mior Hassab (Mishar).

Sementara itu, Pengurus Besar PORT Nur Hanim Mohamed Khairuddin berkata penerbitan DKP ini dapat dijadikan sebagai bahan rujukan bermafaat kepada penyelidik seni dan budaya mahupun individu yang berkecenderungan.

“Direktori ini diharapkan dapat menanamkan rasa kebersamaan antara penggiat seni kartun yang banyak memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Saya berharap DKP menjadi satu bentuk pangkalan data yang signifikan di dalam sejarah kartun Malaysia seterusnya dapat membantu memperkenalkan hasil karya kartunis bagi tujuan komersial,” ujarnya.

Kepada yang ingin mendapatkan DKP ini bolehlah mendapatnya terus ke pejabat PORT di alamat No. 9 & 11, Jalan Sultan Azlan Shah, 31400 Ipoh, Perak atau menghubungi Najatul Nabila di talian 05-241 2287/faksimili 05-241 2394.