IPOH – Nama Mek Yun atau Wee Yun Nee, gadis Cina yang sangat fasih berbahasa Melayu kini menjadi trending akhir-akhir ini apabila video pendek menerusi laman TikTok beliau mendapat perhatian serta tontonan warga maya.

Ramai yang tertarik dengan kepetahan gadis ini bercakap dalam dialek Kelantan selain bahasa Melayu dan sesekali dalam bahasa Inggeris, lantas menampilkan imej masyarakat majmuk yang sangat disukai khalayak.

Gadis cantik berusia 24 tahun ini menarik perhatian warga maya terutama pengguna TikTok kerana kefasihan bertutur dalam bahasa Melayu selain aksi spontan bersama abang-abangnya yang juga memiliki kebolehan sama.

Walaupun tahu keluarga gadis ini menggunakan bahasa Melayu sebagai pertuturan di rumah, tetapi ramai yang tertanya-tanya serta ingin tahu latar belakang keluarga Mekyun.

Rupa-rupanya Mek Yun adalah anak kepada bekas Panglima Artileri Roket, Brig Jen Datuk Wee Han Siew.

Bapanya ketika berkhidmat di dalam tentera juga dikenali sebagai pegawai kanan yang tegas tetapi mudah mesra serta bertoleransi dengan pegawai serta anggota bawahan.

Seperti Mek Yun, Han Siew juga fasih berbahasa Melayu selain dialek Kelantan, jadi tidak hairanlah mengapa ahli keluarganya juga fasih bertutur dalam dialek tempatan.

Ketika ini Mek Yun yang juga puteri bongsu daripada empat beradik itu mempunyai 301,000 pengikut dalam laman TikTok dengan meraih 2.4 juta tanda suka selain 120,000 pengikut pada laman Instagram.

Dalam satu temubual bersama sebuah akhbar tempatan, Mek Yun berkata semasa di sekolah dia banyak bergaul dengan rakan berbangsa Melayu dan daripada situlah dia belajar serta bertanya jika ada maksud perkataan yang tidak difahami.

“Mengenai dialek Kelantan pula, ikutkan saya tidak fasih tetapi pernah bersekolah rendah selama dua tahun di sana (tahun empat hingga enam) jadi dapat pendedahan di situ.

“Lagipun, ibu berasal dari Lundang, ayah pula Rantau Panjang dan ada kalanya mereka bertutur dengan saya dan adik beradik dalam dialek Kelantan selain Bahasa Melayu, Inggeris dan Siam. Lama kelamaan, kami semua lancar bertutur dalam kesemua bahasa itu,” katanya.

Semasa bersekolah, Mek Yun juga mendapat gred A dalam subjek Bahasa Melayu sejak menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mek Yun berkata, beliau turut diberi kepercayaan mewakili sekolah dalam pertandingan pidato kerana kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu.

Mek Yun yang baru tamat pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda jurusan Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor dan masih menunggu tawaran pekerjaan.