NGO Aman Wardah Ringankan Beban Keluarga Asnaf
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 800
IPOH 18 Mei – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Aman Wardah mengambil keberkatan Ramadan pada kali ini apabila tampil menyantuni keluarga kurang berkemampuan di sekitar bandar ini.
Sebanyak 15 keluarga asnaf, ibu tunggal dan warga tua daif menerima bantuan tersebut menerusi Program Aman Wardah Syawal #kitajagakita yang berkolaborasi dengan Rumah Ngaji Kediaman Menteri Besar.
Pengerusinya, Azana Rita Abd. Aziz berkata, beliau bersama ahli-ahli NGO itu menziarahi keluarga penerima antaranya di Tambun, Ulu Kinta, Chepor, Klebang, Meru dan Manjoi.
Menurut beliau, setiap keluarga yang diziarahi menerima sumbangan berupa barang-barang keperluan harian sumbangan Rumah Ngaji MB manakala Aman Wardah menyumbang wang saku sebanyak RM150 dan sebekas kuih raya.
“Kami mengambil inisiatif untuk bersikap ambil peduli mengenal pasti keluarga yang memerlukan bantuan.
“Kebanyakan penerima misalnya ibu tunggal mempunyai anak-anak yang masih bersekolah. Ada juga yang baru kehilangan pekerjaan disebabkan wabak Covid-19.
“Justeru, usaha kecil ini diharap dapat meringankan beban para penerima terutama dalam membantu persediaan mereka untuk menyambut Aidilfitri,” ujarnya.
Azana Rita memberitahu, sumbangan berkenaan adalah hasil kutipan daripada ahli-ahli pertubuhan itu selain beberapa orang dermawan.
Aman Wardah ditubuhkan pada tahun 2014 bertujuan membantu golongan yang kurang berkemampuan manakala ahli-ahlinya pula terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya.